100 tahun Dr Mahathir: Bekerja tanpa kira waktu, tak buang masa semasa teraju kerajaan

LocalPolitics
10 Jul 2025 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tun Dr Mahathir Mohamad

image is not available
Tun M ketika siaran langsung Podcast Dr M sempena ulangtahun kelahiran ke 100 di laman sosial rasminya pada Khamis.

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan disiplin kerja keras yang diamalkannya sejak bergelar doktor menjadi teras utama kepada gaya kepimpinannya semasa menerajui kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sikap mahu menyegerakan sesuatu perkara timbul kerana menyedari tempoh pentadbiran mungkin tidak lama dan setiap idea perlu dilaksana secepat mungkin.

“Sebelum saya, ada tiga Perdana Menteri. Tunku Abdul Rahman jadi PM selama 13 tahun, Tun Razak lima tahun, Tun Hussein pun lima tahun, jadi saya pun fikir mungkin dapat lima tahun sahaja.

“Kalau nak buat apa pun, buat masa itu juga, secepat mungkin. Masa tak cukup sebab saya banyak idea. Masa 'is a problem' dengan saya daripada awal lagi,” katanya dalam siaran langsung Podcast Dr M sempena ulangtahun kelahiran ke 100 di laman sosial rasminya pada Khamis.

**media[3196751]**

Menyentuh tentang rutin hariannya ketika menjadi Perdana Menteri, Mahathir berkata, beliau bekerja tanpa mengira waktu, satu amalan yang dipelajarinya sejak menjadi doktor perubatan.

“Sebelum saya jadi menteri, saya jadi seorang doktor preman (swasta). Masa itu saya kerja kuat. Bila kerja dengan kerajaan pun saya kerja kuat, siang malam.

“Kadang-kadang kena duty seminggu, 24 jam sehari. Takkanlah orang nak beranak pukul 3 pagi, kita nak suruh tunggu.

"Jadi kita kena kerja sepanjang masa. Itu dah jadi satu amalan saya. Bagi saya, itu normal,” jelasnya.

Beliau menegaskan, prinsip kerja itu diteruskan walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, malah masih menepati masa dan hadir awal ke program seperti dahulu.

"Saya berpendapat masa tak banyak, jadi saya kena guna masa sepenuhnya sepertimana sebagai doktor, saya tak kira waktu mana siang atau malam saya buat kerja. Jadi menteri pun saya buat kerja siang dan malam," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai sikapnya yang terlalu berdisiplin mungkin membuatkan orang di sekelilingnya rasa tidak selesa, beliau menjelaskan dirinya tidak suka membuang masa.

“Saya nak cepat. Saya jalan pun cepat. Kalau ada rombongan, saya di depan sekali. Saya berjalan lebih jauh daripada orang lain.

“Saya tak suka buang masa. Ada masa, kita buat kerja dan saya suka kerja saya. Bagi saya, bekerja untuk membangunkan negara itu satu kegiatan yang menyeronokkan,” katanya.

Menurutnya lagi, tanggungjawab menyumbang kepada pembangunan negara menjadi motivasi utama beliau untuk terus bekerja kuat tanpa mengira waktu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved