100 tahun masih terima tetamu

1 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 100 tahun masih terima tetamu

KALAU bukan kerana namanya, mungkin sukar untuk menyangka bangunan yang kelihatan begitu kemas dan segar ini sudah berusia seabad.

Di sebalik penampilannya yang masih terpelihara, premis di Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang itu sebenarnya sudah melalui perjalanan panjang sejak pertama kali didirikan pada 1926.

Ketika itu, ia digunakan sebagai kediaman rasmi pegawai British sebelum melalui beberapa perubahan fungsi sehingga akhirnya dikenali sebagai 1926 Heritage Hotel Penang.

Image from: 100 tahun masih terima tetamu

Kini, pintunya masih terbuka untuk menerima tetamu, namun peranannya sudah berubah daripada kediaman kepada tempat penginapan.

Di bawah jenama The Unlimited Collection by The Ascott Limited, hotel itu dipulihkan dengan mengekalkan elemen warisan yang mencerminkan sejarah asalnya.

Antara yang masih dapat dilihat ialah fakad berwarna putih dengan sentuhan coklat lembut, yang menampilkan elemen seni bina Anglo-Melayu era peralihan di George Town.

Pengurus Besarnya, Angelina Lazuardi berkata, reka bentuk hotel ini mengekalkan suasana Georgetown lama menerusi koridor yang dipelihara dan ruang yang diolah semula bagi memenuhi keperluan tetamu masa kini.

Image from: 100 tahun masih terima tetamu

Di lobi, misalnya, terdapat dinding seni menggunakan teknik marquetry jerami berinspirasikan Perancis yang menampilkan kisah pokok palma dan dua ekor harimau kumbang.

Motif flora dan fauna itu turut menjadi simbol pada logo hotel, sekali gus menghubungkan identiti baharunya dengan sejarah bangunan tersebut.

“Setiap ruang di hotel ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada masa lalu, malah menggabungkan pesona warisan tempatan dengan kemewahan moden yang tenang.

“Proses pemulihannya dilakukan dengan teliti sambil mengekalkan identiti asal supaya ia terus menjadi sebahagian daripada warisan Pulau Pinang untuk generasi akan datang.

“Justeru, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kami mahu menawarkan pengalaman yang lebih bermakna dan autentik kepada pengembara,” katanya.

Bagi yang mahukan penginapan lebih mewah, straits suite menawarkan ruang yang lebih luas dengan bilik tidur berasingan, ruang tamu dan bekerja.

Image from: 100 tahun masih terima tetamu

Katil yang empuk dan kelengkapan mandi premium melengkapkan keselesaan suite berkenaan, sesuai untuk tetamu yang mahu berehat dengan tenang selepas meneroka sekitar Georgetown.

Sementara itu, heritage garden patio seluas 52 meter persegi di aras bawah menawarkan pengalaman berbeza dengan patio dan taman peribadi.

Dengan akses mudah ke kolam renang dan dikelilingi kehijauan, bilik ini sesuai bagi tetamu yang mencari suasana lebih tenang dan dekat dengan alam semula jadi.

Hotel ini turut sesuai untuk urusan kerja dan pertemuan dengan dua ruang mesyuarat, Burma Room serta Heritage Hall.

Tetamu juga boleh menikmati kemudahan lain seperti gimnasium, spa, kolam renang dan taman.

Koleksi antik

Angelina berkata, hotel itu turut mempunyai sudut muzium mini, A Journey 1926, yang mempamerkan pelbagai koleksi antik di lobi.

Antaranya termasuk lukisan bandar George Town suatu ketika dahulu, pemain piring hitam, telefon, piring, mesin daftar tunai, seterika, jam dan pemegang lilin.

Katanya, setiap barangan menggambarkan kehidupan dan suasana yang pernah mewarnai Pulau Pinang pada era berkenaan.

Image from: 100 tahun masih terima tetamu

“Ada antaranya yang mungkin tidak pernah dilihat atau digunakan oleh generasi muda, terutama kanak-kanak.

“Paparan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka mengenali barangan yang pernah digunakan dalam kehidupan seharian generasi terdahulu.

Katanya, koleksi itu akan terus ditambah dari semasa ke semasa supaya sudut berkenaan sentiasa mempunyai bahan baharu untuk tatapan tetamu.

The post 100 tahun masih terima tetamu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved