
Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad genap berusia 100 tahun.
Seabad melayari kehidupan. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi detik untuk seluruh rakyat Malaysia melihat seorang insan yang, sama ada kita suka atau tidak, telah membentuk negara ini lebih daripada mana-mana individu lain sejak merdeka.
Beliau, tanpa ragu, adalah rakyat Malaysia paling berpengaruh dalam era moden negara.
Saya sendiri pernah berbeza pendapat dengan Tun. Ada yang tajam, ada yang bersifat falsafah. Namun, saya juga tidak lari dari rasa kagum yang mendalam.
Walaupun beliau tidak pernah sempurna, malah sering kali melakukan kesilapan, Tun tidak pernah menjadi seorang pemimpin yang kecil jiwanya. Dan dalam kepimpinan, itu sangat penting.
Dalam tempoh pertama beliau sebagai Perdana Menteri, Malaysia melangkah ke arah kemodenan. Ekonomi berkembang pesat. Perindustrian mula melebarkan sayap. Kita melangkah penuh keyakinan ke pentas dunia.
Buat pertama kalinya, rakyat Malaysia merasakan bahawa negara berada di tangan yang cekap; seorang pemimpin yang mampu berdiri teguh berhadapan kuasa-kuasa besar dunia, yang mampu membayangkan Abad Malaysia.

Perasaan selamat itu, perasaan dipimpin oleh seseorang yang benar-benar tahu arah tuju negara, masih segar dalam ingatan ramai. Namun, janganlah kita melihat masa lalu dengan bertunjangkan nostalgia semata-mata.
Era pembangunan tersebut sama datang dengan harga yang sangat mahal. Badan kehakiman yang dahulunya bebas dan dihormati, telah dicantas. Perkhidmatan awam, yang suatu ketika dahulu bersifat profesional dan berdasarkan merit, telah dilentur mengikut kehendak eksekutif. Kebebasan diganti dengan kepatuhan. Isu perkauman dan agama yang suatu masa dahulu ditangani dengan penuh berhati-hati telah dijadikan alat politik; kadang-kala tumpul, ada kalanya tajam demi memastikan kuasa terus kekal.
Kita perlu bersikap jujur. Benih-benih perpecahan yang kita hadapi hari ini sebenarnya telah ditanam pada ketika itu.
Banyak kelemahan sistemik yang membelenggu kita kini; polarisasi, hilangnya kepercayaan terhadap institusi dan hakisan pemerintahan profesional berakar dari tempoh panjang pemerintahan Tun yang pertama.
Ini bukan kebetulan. Ia adalah pilihan, dibuat atas nama kelangsungan politik atau perpaduan nasional, bergantung kepada siapa yang disoal.
Namun, di sebalik semuanya, beliau tetap seorang tokoh yang saya hormati. Bukan kerana kesilapan yang dilakukan, tetapi kerana keberaniannya untuk mencuba.
Kerana inilah paradoksnya: beliau boleh sahaja bersara sebagai lagenda selepas penggal pertama. Tetapi sebaliknya, pada usia 93 tahun, beliau kembali, bukan demi kekayaan atau keselesaan, tetapi untuk cuba memperbetul kerosakan dibuat tangannya sendiri.
Itu satu bentuk keberanian yang hanya dimiliki Dr Mahathir. Adakah ia sudah terlambat? Mungkin. Tetapi percubaan itu penting. Kesediaan untuk berdepan dengan warisan diri sendiri jarang berlaku dalam politik.
Saya telah menyebut ini berkali-kali—saya adalah rakyat Malaysia berketurunan India. Komuniti saya telah lama diabaikan. Kumpulan ekerja ladang yang membina ekonomi ini tidak pernah benar-benar diiktiraf, apatah lagi diberi ganjaran setimpal.
Di bawah Tun, mereka tidak diberikan ruang atau keadilan yang sewajarnya. Luka itu masih ada. Namun begitu, saya masih mampu menghargai visi pembinaan negara yang dibawa. Beliau mampu menjadi inklusif dalam erti sebenar, namun, pada masa lain, juga mampu menjadi sangat eksklusif. Kedua-dua kenyataan ini boleh wujud serentak.

Sejarah akan menilai beliau sepenuhnya, seperti mana yang sepatutnya. Tetapi pada hari ulang tahunnya yang ke-100, marilah kita berjiwa besar. Jangan diputar belit fakta yang ada, tetapi jangan juga kita mendewakan. Lihatlah beliau sebagaimana dirinya yang sebenar: seorang tokoh besar, cemerlang namun tidak sempurna, yang bayangnya masih menyelubungi Malaysia hingga ke hari ini.
Selamat ulang tahun ke-100, Tun. Semoga satu abad hidupmu ini mengingatkan kita bukan sahaja tentang apa yang mungkin berlaku, tetapi juga tentang apa yang tidak harus diulangi.
Semoga generasi pemimpin akan datang menjadikan kejayaannmu sebagai tauladan dan kegagalanmu sebagai pedoman yang tidak harus diketepikan. - Getaran, 11 Julai 2025

