104,000 Lot Kubur Baharu Dibina Melalui Kaedah Pertukaran Tanah

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 3:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

104,000 Lot Kubur Baharu Dibina Melalui Kaedah Pertukaran Tanah

104,000 Lot Kubur Baharu Dibina Melalui Kaedah Pertukaran Tanah

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan bahawa urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan tidak akan diswastakan, sebaliknya kekal di bawah pengurusan kerajaan.

Penjelasan itu dibuat susulan pelaksanaan projek pembangunan tanah perkuburan awam baharu oleh Kerajaan MADANI di lot PT3458, yang merupakan satu inisiatif bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad.

Menurut JAWI, projek tersebut akan dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn. Bhd. dan Kerajaan MADANI.

Jalan pintas hubungkan Sungai Lalang & SILK juga akan dibangunkan

Di bawah perjanjian itu, syarikat berkenaan akan membangunkan jalan pintas sepanjang 4.34 kilometer yang menghubungkan Sungai Lalang dengan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), selain menyediakan tapak tanah perkuburan awam di lokasi yang telah ditetapkan.

Tapak perkuburan baharu itu akan dibangunkan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) dengan penyediaan sehingga 104,000 lot kubur, yang dianggarkan mampu memenuhi keperluan pengebumian umat Islam di Wilayah Persekutuan bagi tempoh kira-kira 28 tahun.

Selain kawasan perkuburan, projek itu turut merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan sokongan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters kakitangan, pondok pengawal serta infrastruktur berkaitan.

Dijangka siap 2029

JAWI memaklumkan projek tersebut dijangka siap pada tahun 2029 sebelum pengurusannya diserahkan sepenuhnya kepada jabatan itu.

Apabila mula beroperasi kelak, JAWI akan bertanggungjawab menguruskan keseluruhan operasi termasuk pengurusan jenazah, pengebumian, pengurusan jenazah tidak berwaris serta penyelenggaraan kawasan perkuburan, sebagaimana yang dilaksanakan di lapan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah sedia ada di Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, JAWI menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan bercadang menswastakan urusan pengebumian adalah tidak benar.

Menurut jabatan itu, hartanah yang terlibat dalam projek berkenaan kekal dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan telah diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 222.68 ekar.

JAWI berharap penjelasan tersebut dapat memberi kefahaman kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan mengenai keperluan penyediaan tapak perkuburan baharu bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan, selaras dengan ruang pengebumian yang semakin berkurangan.

Image from: 104,000 Lot Kubur Baharu Dibina Melalui Kaedah Pertukaran Tanah
Image from: 104,000 Lot Kubur Baharu Dibina Melalui Kaedah Pertukaran Tanah

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved