JAWI Nafi Dakwaan Swastakan Urusan Pengebumian Islam Di Wilayah Persekutuan

9 Jul 2026 • 6:26 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menafikan dakwaan bahawa urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diswastakan, sebaliknya menegaskan pengurusan tanah perkuburan baharu kekal di bawah tanggungjawab agensi itu.

Insiatif Kerajaan MADANI

Memetik daripada kenyataan dibuat, Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan memaklumkan projek pembangunan tanah perkuburan awam di Lot PT3458 dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn Bhd dengan Kerajaan MADANI, manakala status tanah tersebut kekal sebagai Tanah Perkuburan Awam di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Ia adalah inisiatif Kerajaan MADANI bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad.
“Menerusi kaedah itu, syarikat berkenaan akan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (Lebuhraya SILK) sepanjang 4.34 kilometer dan menyediakan satu tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot yang ditetapkan,” katanya.

Image from: JAWI Nafi Dakwaan Swastakan Urusan Pengebumian Islam Di Wilayah Persekutuan

Image from: JAWI Nafi Dakwaan Swastakan Urusan Pengebumian Islam Di Wilayah Persekutuan

Menurut beliau, pembangunan tanah perkuburan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) itu mampu menyediakan sehingga 104,000 lot kubur yang dianggarkan dapat menampung keperluan pengebumian selama 28 tahun.

“Selain itu, pihak syarikat juga akan membina kemudahan bagi sebuah TPIRS seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan lain-lain kemudahan infrastruktur yang berkaitan,” katanya.

JAWI bertanggungjawab sepenuhnya proses pengurusan jenazah

Hanifuddin menambah, projek yang dijangka siap pada 2029 itu akan diserahkan kepada JAWI untuk diuruskan sepenuhnya.

Beliau berharap penjelasan itu dapat memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung penyediaan tapak perkuburan baharu yang bertujuan menampung keperluan semasa dan masa hadapan.

“Apabila tanah perkuburan ini beroperasi kelak, JAWI bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengendalikan proses pengurusan jenazah termasuk jenazah tidak berwaris, pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan seperti mana lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan…”

“Langkah ini diambil bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan selaras dengan ruang tanah perkuburan yang semakin berkurangan,” katanya.

Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

The post JAWI Nafi Dakwaan Swastakan Urusan Pengebumian Islam Di Wilayah Persekutuan appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved