10GB Data Percuma Buat Rakyat Malaysia Sempena Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia 2026 - Fahmi

LocalTechnology
12 Aug 2026 • 8:51 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

10GB Data Percuma Buat Rakyat Malaysia Sempena Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia 2026 - Fahmi

Rakyat Malaysia bakal menikmati Insentif Rebat RAHMAH HKHM 2026, iaitu 10GB data secara percuma sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, lapor Astro AWANI.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menurutnya, inisiatif ini melibatkan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES) dan bakal dimanfaatkan oleh semua pengguna prabayar dan pascabayar warganegara yang layak.

Pemberian data percuma itu akan disalurkan dalam dua fasa, iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan 5GB lagi pada Hari Malaysia (16 September).

Data Percuma Kepada Rakyat

"Perincian kaedah dan tempoh penebusan akan diumumkan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, manakala Soalan Lazim (FAQ) berkaitan akan dimuat naik di laman web Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di Menara Komunikasi, Putrajaya, pada Rabu.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan nilai keseluruhan penajaan bagi HKHM 2026 setakat ini mencecah RM48.63 juta, merangkumi sumbangan daripada 139 rakan strategik sektor swasta dan korporat.

Antara penyumbang utama sambutan tahun ini termasuk Astro yang tampil sebagai Penaja Platinum menerusi sumbangan penajaan bernilai RM7 juta.

Ia sekali gus memperkukuh komitmen syarikat media berkenaan dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan menerusi pelbagai platform penyiaran dan promosi berimpak tinggi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 118 peratus berbanding RM22.3 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

Daripada jumlah RM48.63 juta tersebut, RM2.7 juta merupakan sumbangan tunai yang disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM), manakala RM45.93 juta lagi disumbangkan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan (in-kind).

Baca juga:

"Sumbangan barangan dan perkhidmatan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong kelancaran program.

"Sebahagian daripadanya akan diedarkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak," jelasnya.

Sebanyak 50 peratus diperuntukkan untuk promosi, 30 peratus bagi barangan agihan pengunjung, dan 20 peratus disalurkan untuk jawatankuasa penganjuran, maklum beliau mengenai agihan nilai tajaan.

Kementerian Kewangan (MOF) juga sekali lagi meluluskan HKHM 2026 sebagai Projek Berkepentingan Nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. Ia bagi menggalakkan pengilbatan sektor korporat.

Kelulusan itu membolehkan penaja barangan dan perkhidmatan dari 1 April hingga 16 September 2026 membuat tuntutan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had RM15 juta.

Pun begitu, Kementerian Komunikasi akan mengemukakan rayuan kepada MOF untuk mempertimbangkan kenaikan had insentif potongan cukai berkenaan.

Ia susulan lonjakan sumbangan barangan dan perkhidmatan tahun ini.

"Saya memberi jaminan setiap sen dan bentuk sumbangan yang diterima akan diurus secara telus, berhemah dan bertanggungjawab demi menjayakan sambutan kebangsaan tahun ini," tegas Fahmi lagi.





Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved