
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sehingga jam 7 malam ini.
Menurut MetMalaysia, antara negeri yang terlibat ialah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, selain beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Di Semenanjung Malaysia, amaran berkenaan melibatkan seluruh negeri Perlis dan Kelantan, selain daerah Kubang Pasu di Kedah.
Bagi Perak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta dan Perak Tengah.
Baca juga:
Siap Sedia, Monsun Timur Laut Dijangka Bermula 27 Oktober & Ini Yang Akan Berlaku
Malaysia Berdepan Cuaca Ekstrem, Dari Hujan Lebat Luar Biasa Ke Musim Kering
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi Besut, Dungun dan Marang di Terengganu serta Cameron Highlands, Lipis, Bera dan Rompin di Pahang.
Di Selangor, kawasan yang terlibat ialah Sabak Bernam, manakala Negeri Sembilan melibatkan Jempol, Tampin, Jelebu dan Kuala Pilah.
Bagi Johor pula, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Mersing, Segamat dan Kluang.
Di Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Sebauh di Bintulu, Limbang, Marudi, Bario, Beluru dan Telang Usan di Miri serta Belaga di Kapit.
Sementara itu, di Sabah, amaran dikeluarkan bagi kawasan Pedalaman meliputi Sipitang, Tenom, Sook, Keningau, Membakut, Beaufort, Tambunan dan Pensiangan.
Amaran sama turut melibatkan seluruh bahagian Pantai Barat dan Sandakan, selain Kota Marudu di Kudat serta Kalabakan dan Lahad Datu di Tawau.
11 negeri diramal hujan lebat

Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan bahawa amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.




