
11 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama, pelakon jelita Ramona Zamzam menyimpan satu kisah domestik yang cukup melucukan gara-gara buah durian.
Bagi peminat tegar raja buah itu, nikmat makan durian memang tidak boleh dibawa bincang, namun situasi berbeza pula dihadapi Ramona apabila suaminya yang berasal dari Timur Tengah langsung tidak tahan dengan baunya. Kisah unik perkahwinan campur ini dikongsikan sendiri oleh Ramona menerusi platform Threads sehingga mencuri perhatian netizen yang terhibur dengan gelagat pasangan ini.
Menceritakan kembali rutin tahunan itu, Ramona mendedahkan dia sebenarnya terpaksa beralih ke luar rumah semata-mata untuk melepaskan kempunan menikmati buah kegemarannya.
Biarpun sudah lebih sedekad bergelar isteri, nampaknya 'pemberontakan' bau durian itu tetap menjadi sempadan buat suaminya, Rami.
Tambah Ramona, sejak kecil dia sudah terbiasa menikmati durian bersama keluarga, malah sehingga kini ibu bapanya masih rajin menghantar buah tersebut ke rumah mereka.
Namun, apa yang melucukan adalah gelagat suaminya yang sangat teknikal tetapi fobia dengan bau menyengat itu. Kata Ramona, suaminya itu seorang yang mahir bab membuka atau memasang sesuatu, jadi tugas membelah durian tetap diserahkan kepada lelaki itu walaupun dia sendiri tidak sanggup mencium baunya.
Sambil berseloroh, Ramona memberitahu bahawa sepanjang 11 tahun ini, dia terpaksa makan durian di luar rumah seperti 'pengemis' selepas suaminya siap membelah buah tersebut dengan parang sebelum cepat-cepat melarikan diri ke dalam rumah.

"Dia kata, saya tolong bukakan untuk awak, tapi awak makan kat luar rumah okey.
"Maka tiap-tiap tahun beginilah kehidupannya, suami berparang bagai bukakan durian.
"Lepas itu dia lari masuk rumah, saya makanlah depan rumah seorang-seorang," kongsi Ramona dalam nada jenaka.
Bagaimanapun, Ramona melihat situasi itu dari sudut yang positif dan menguntungkan dirinya. Sambil berseloroh, dia mengakui peraturan luar rumah itu sebenarnya memberi kelebihan mutlak buat dirinya untuk melandak durian tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.
"Tapi anda tahu apa? Bagus.. Sebab saya dapat makan lebih banyak durian, selamat tinggal suami, tinggalkan saya dan durian saya sendirian," katanya lagi sambil meletakkan emoji ketawa.

Perkongsian santai dan melucukan itu dihujani pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya terhibur dengan tolak ansur pasangan tersebut.
Ramai yang bersetuju bahawa tindakan suaminya itu adalah satu bentuk toleransi yang sangat murni dalam perkahwinan demi menjaga hati pasangan masing-masing.
Malah, ada juga netizen yang sempat mengusik Ramona dengan mengatakan dia sangat beruntung kerana boleh menikmati raja buah itu dengan tenang tanpa perlu berebut dengan orang lain.
