
BANDAR GAZA: Pihak berkuasa di Gaza berkata pada Sabtu bahawa mereka telah menemukan semula mayat dan cebisan mayat 112 lagi mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, sebagai sebahagian daripada operasi sukar susulan lebih dua tahun serangan Israel.
Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa mayat dan cebisan mayat itu ditemukan selepas 136 jam kerja-kerja menggali, kebanyakannya menggunakan tangan kosong, di kawasan Sabra, sebuah kejiranan di selatan Bandar Gaza.
Menurut agensi itu yang berfungsi sebagai perkhidmatan menyelamat di bawah pentadbiran Hamas, mangsa yang ditemukan termasuk 40 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh orang kurang upaya (OKU).
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata, ia menyokong operasi yang berlangsung selama hampir dua minggu itu.
“Selama lebih dua tahun setengah, ribuan keluarga di Gaza hidup dalam kesakitan dan ketidakpastian, menunggu peluang untuk menemukan semula jasad insan tersayang, meratapi pemergian mereka serta mengebumikan mereka dengan penuh bermaruah,” kata jurucakap ICRC di Gaza, Amani Al-Naouq.
“Pencarian orang hilang dan usaha menemukan semula jasad mangsa merupakan isu kemanusiaan yang amat penting,” tambahnya kepada AFP.
Kolonel Mohammed Abu Dan yang mengetuai operasi di lokasi itu bagi pihak agensi pertahanan awam berkata, pasukan itu masih belum menemukan 157 lagi mayat yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan di kawasan tersebut.
Beliau menyifatkan operasi pencarian itu sebagai amat mencabar, dengan pasukan penyelamat terpaksa mengorek runtuhan konkrit dan besi yang remuk menggunakan tangan.
Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas mengesahkan bahawa lebih 73,300 orang telah terbunuh sepanjang perang itu, berdasarkan angka yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perang tercetus apabila pejuang Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan 1,221 orang dan membawa 251 tebusan ke Gaza dalam serangan paling dahsyat terhadap penduduk negara haram itu sejak 1948. – AFP
The post 112 mayat ditemukan di bawah runtuhan Gaza appeared first on Utusan Malaysia.



