
Mangsa Sim Chin Chuan, 49, ditemukan tersepit di bawah lori jenis Hino ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
BUKIT MERTAJAM: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai digilis sebuah lori 10 tan dalam kemalangan jalan raya di jejambat Jalan Bukit Tengah, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa Sim Chin Chuan, 49, ditemukan tersepit di bawah lori jenis Hino ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
“Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.40 pagi dan sebaik sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam tiba ke lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan serta seorang pejalan kaki tersepit di bawah kenderaan tersebut.
“Pasukan Keluaran Operasi segera menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit bagaimanapun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan pemandu lori berusia 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan.






