12 anak nelayan dipilih kumpulan pertama jalani program TVET LKIM

15 Sep 2026 • 1:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 12 anak nelayan dipilih kumpulan pertama jalani program TVET LKIM

TAIPING – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperluas peluang pendidikan dan kemahiran kepada anak nelayan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang pembaikan bot dan enjin.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan institusi kemahiran berkaitan, dengan tempoh latihan selama 15 bulan merangkumi pembelajaran teori dan amali.

Katanya, seramai 12 anak nelayan dipilih sebagai kumpulan pertama untuk mengikuti program berkenaan yang melibatkan latihan teori di institusi kemahiran, manakala latihan amali dilaksanakan di limbungan di Kuantan, Pahang.

“Kita fokus kepada anak-anak nelayan untuk memberikan satu kemahiran yang bertauliah dalam bidang ini, terutamanya pembaikan bot dan enjin ataupun berkaitan kapal ikan.

“Tujuannya untuk memastikan anak-anak nelayan ini mempunyai masa depan yang baik dalam industri perikanan,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Majlis Rahmah Mesra Madani di Matang hari ini.

Menurutnya, sektor pembaikan kapal merupakan antara komponen penting dalam ekosistem perikanan dan penglibatan anak nelayan secara langsung dalam bidang itu mampu memastikan lebih banyak rantaian industri dikuasai komuniti nelayan sendiri.

Faiz berkata, LKIM memperuntukkan kira-kira RM150,000 bagi melaksanakan program berkenaan, yang bukan menggunakan peruntukan belanjawan tahunan.

Beliau berkata, peserta yang berminat perlu berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai minat serta kesungguhan untuk menceburi bidang pembaikan kapal.

“Kita tidak mahu mereka mendapat tauliah tetapi selepas itu pergi bekerja dalam bidang lain. Kita mahu anak-anak nelayan yang benar-benar berminat dan mempunyai semangat serta kecintaan kepada industri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata LKIM terus memperkukuh kebajikan nelayan menerusi bantuan berkaitan bencana alam, kematian serta perumahan bagi membantu meringankan beban komuniti berkenaan.

Katanya, sebanyak RM47,400 disalurkan kepada ketua-ketua di 7 kawasan nelayan di Perak bagi bantuan berkaitan bencana alam dan kebajikan.

Selain itu, sebuah rumah baharu bernilai RM84,000 diserahkan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan di kawasan Matang, manakala keseluruhan bantuan perumahan tahun ini membabitkan dua rumah bina baharu dan tiga rumah dibaik pulih. – KOSMO! ONLINE

The post 12 anak nelayan dipilih kumpulan pertama jalani program TVET LKIM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved