LKIM bendung kegiatan nelayan warga asing

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: LKIM bendung kegiatan nelayan warga asing
Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan sempena Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak di Pejabat Penghulu Mukim Matang, di sini pada Selasa.

TAIPING – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperketatkan pemantauan terhadap penggunaan kru warga asing di atas vesel nelayan bagi membendung kegiatan pencerobohan perairan negara.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemantauan itu dilakukan khususnya terhadap vesel di bawah pemantauan LKIM termasuk kategori C dan C2 yang dibenarkan menggunakan kru asing dengan syarat mempunyai permit kerja yang sah.

Menurutnya, isu kekurangan vesel tempatan turut perlu diberi perhatian kerana keadaan itu berpotensi membuka ruang kepada pencerobohan pihak luar.

“Kita memang ada pemantauan yang rapi terhadap kru yang bekerja dengan vesel di bawah LKIM. Contohnya vesel C atau C2 yang menggunakan kru asing perlu mendapatkan PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara).

“Mereka juga berlabuh di kompleks-kompleks kita dan kita memantau setiap penggunaan pekerja asing,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak di Pejabat Penghulu Mukim Matang, di sini pada Selasa.

Muhammad Faiz berkata, sekiranya terdapat penggunaan warga asing tanpa permit kerja yang sah perkara itu merupakan kesalahan di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun katanya, LKIM boleh mengambil kira kesalahan berkenaan dalam aspek kelayakan bantuan atau kemudahan tertentu yang disediakan kepada nelayan.

“Kalau ada kes yang dibuktikan, kita akan melihat semula kelayakan mereka, contohnya berkaitan subsidi minyak bagi vesel C yang kita sediakan.

“Lesen vesel pula adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan, jadi kita tidak mempunyai kuasa berhubung perkara itu. Tetapi LKIM boleh melihat semula kelayakan mereka terhadap kemudahan yang kita sediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz berkata, kerajaan juga perlu menambah aset penguatkuasaan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan terhadap pencerobohan perairan dapat dipertingkatkan.

Katanya, nelayan tempatan turut digalakkan memodenkan vesel masing-masing bagi meningkatkan keupayaan menangkap ikan di kawasan perairan lebih jauh.

“Percubaan pencerobohan berlaku disebabkan lautan kita yang lebih ke dalam masih kosong kerana jumlah vesel kita tidak begitu banyak.

“Kalau kita ambil Zon C2 pun sekitar 770 vesel sahaja. Kekurangan vesel ini menyebabkan laut kita terbuka kepada pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah vesel tempatan yang moden bukan sahaja membantu meningkatkan hasil tangkapan, malah dapat memastikan kawasan perairan negara lebih banyak dipenuhi vesel nelayan tempatan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved