SHAH ALAM, 29 NOV: Enam lagi syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memiliki Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) ke arah memperkukuh budaya integriti dalam agensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Saipolyazan M Yusop berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan 12 syarikat milikan MBI memiliki OACP.
“Setakat ini 12 (miliki OACP). Tahun lepas enam, tahun ini enam. Kita akan buat berperingkat sehingga kesemua anak syarikat memiliki OACP sebagai lapisan pertahanan untuk mengelak sebarang salah laku rasuah.

“Ini memastikan kakitangan faham dan tidak melakukan aktiviti rasuah atau sebarang perkara terkait dengannya,” katanya selepas majlis pelancaran OACP syarikat milikan MBI yang disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim hari ini.
Menurut Saipolyazan MBI mengambil serius usaha membudaya integriti bukan sahaja di peringkat MBI malahan syarikat milikan.
“Warga kerja MBI serta syarikat milikan, perlu terus menanam sikap integriti tinggi agar setiap tugasan yang kita laksanakan memberikan hasil sempurna sekali gus mencerminkan imej baik kepada rakyat Selangor,” katanya.
Sementara itu Suee Lim berkata pelaksanaan OACP dimasukkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) melibatkan sektor tumpuan tadbir urus projek atau inisiatif, ke arah memperkukuh integriti keseluruhan pihak jabatan negeri dan agensinya.
“RS-1 dirangka unguk memenuhi keperluan jangka pendek negeri dan membina daya tahan kukuh pada masa depan sekali gus mengorak langkah ke arah pencapaian aspirasi negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.
“Namun,pencapaian aspirasi itu boleh diragut sekiranya tiada penekanan terhadap amalan tadbir urus dan tatakelola yang baik. Tadbir urus yang mantap dapat membantu pengurusan negeri secara cekap, telus dan dipercayai,” katanya.


The post 12 anak syarikat MBI miliki Pelan Antirasuah Organisasi, perkukuh budaya integriti appeared first on Selangorkini.

