
12 Hari Berlangsung, MAHA 2024 Catat Lebih 5 Juta Pengunjung
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 telah mencatatkan jumlah kehadiran seramai 5.5 juta pengunjung.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Jumlah pengunjung MAHA 2024 adalah seramai 5,510,356 orang. Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakannya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.
Acara yang berlangsung pada 11 hingga 22 September itu menjadi ekspo pertanian terbesar merangkumi pameran teknologi terbaharu, pemodenan dan pertanian pintar.
Edisi MAHA kali ini meliputi lima kluster iaitu Kingdom of Agro Food, Food Empire & Food Viral, Food Truck Fiesta, Food Trade dan Rhythm of Farmers.
Dalam pada itu, nilai jualan langsung MAHA pada tahun ini adalah melebihi RM40 juta.
Menurut Bernama, keunikan penganjuran MAHA kali ini adalah pengenalan MAHA Go Global yang merupakan inisiatif untuk mengembangkan dan mempromosikan produk pertanian Malaysia ke pasaran global dan sebaliknya.
MAHA 2024 menunjukkan peningkatan beberapa produk
Selain itu, MAHA 2024 turut menunjukkan peningkatan jualan anak benih, anak pokok dan haiwan ternakan dan menyifatkan ia indikator positif bahawa minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang di samping memperlihatkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan demi masa depan negara.
“Angka ini bukan sekadar statistik, ia cerminan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara dan memikat perhatian ramai. Ia juga mengukuhkan peranannya sebagai platform unggul untuk memmacu inovasi, pendidikan dan sektor peluang perniagaan selain membina sektor pertanian berdaya saing, mampan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Mengenai kejayaan MAHA 2024, Mohammad Sabu berharap ia memberikan impak positif yang signifikan kepada petani dan pengusaha agromakanan tempatan.
Beliau yakin MAHA juga telah mengubah persepsi terhadap bidang pertanian dan menyeru anak muda untuk terus meneroka bidang pertaniah sebagai kerjaya berpotensi besar bagi mengubah nasib dan kehidupan keluarga.
Sumber: Mohamad Sabu, Bernama
The post 12 Hari Berlangsung, MAHA 2024 Catat Lebih 5 Juta Pengunjung appeared first on Siakap Keli.





