12 juta ekor ayam, 160 juta telur pastikan bekalan Aidilfitri mencukupi di Perak

LocalFood
17 Mar 2026 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Zolkafly (tiga dari kanan) ketika meninjau barangan keperluan Aidilfitri di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya pada Selasa.

IPOH – Sebanyak 12 juta ekor ayam serta 160 juta biji telur disediakan di Perak bagi memastikan bekalan makanan asas itu mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa bekalan ayam, telur dan daging di negeri ini berada pada tahap mencukupi, stabil serta terkawal.

Menurutnya, jaminan itu dibuat hasil pemantauan berterusan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak bersama agensi berkaitan terhadap sektor pengeluaran ternakan di negeri ini.

"Bagi bekalan ayam pedaging, pengeluaran semasa di Perak dianggarkan sekitar 10 hingga 12 juta ekor sebulan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna termasuk peningkatan permintaan semasa musim perayaan.

"Pengeluaran telur ayam pula dianggarkan sekitar 140 hingga 160 juta biji sebulan dengan bekalan diagihkan secara berterusan ke pasaran bagi memastikan kestabilan bekalan kepada pengguna di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Ipoh dan Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Selasa.

Menurutnya, bekalan daging lembu dan kerbau juga berada pada tahap stabil melalui gabungan sumber pengeluaran tempatan serta bekalan import.

Menurutnya, jumlah bekalan daging dianggarkan sekitar 360 hingga 400 tan metrik sebulan bagi memenuhi keperluan pasaran di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui DVS bersama agensi berkaitan turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap keseluruhan rantaian bekalan ternakan.

"Pemantauan ini merangkumi peringkat ladang, operasi rumah sembelih serta proses pengedaran produk ternakan ke pasaran bagi memastikan bekalan makanan asas ini sentiasa mencukupi, berkualiti serta sampai kepada pengguna tanpa sebarang gangguan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian secara panik atau berlebihan kerana bekalan ayam, telur dan daging akan terus diagihkan secara konsisten sepanjang tempoh menjelang dan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri ternakan, pengusaha ladang serta agensi berkaitan bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan di Perak sentiasa terpelihara.