Scam kuih raya babit kerugian RM300,000 di Perak

LocalSales & Promo
17 Mar 2026 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noor Hisam (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng, pada Selasa.

GOPENG - Polis Perak mengesan sindiket penipuan melibatkan tempahan kuih raya dan juadah yang menyebabkan kerugian hampir RM300,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, jumlah kerugian itu melibatkan tujuh kes penipuan yang dilaporkan tahun ini dengan modus operandi sama.

Menurutnya, sindiket terbabit menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri dengan membuat tempahan makanan atau kuih dalam jumlah tertentu sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.

"Selepas tempahan dibuat, suspek biasanya akan menghubungi semula mangsa dan meminta item tambahan yang biasanya tidak dihasilkan oleh pengusaha berkenaan.

"Apabila pengusaha memaklumkan tidak dapat menyediakan item tambahan tersebut, suspek akan memberikan satu nombor telefon lain kononnya pembekal yang boleh membantu mendapatkan barangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Selasa.

Noor Hisam berkata, modus operandi tersebut sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.

"Dalam kes ini, kedua-dua pihak sebenarnya adalah scammer. Jadi mangsa menanggung dua kerugian iaitu kos menyediakan tempahan makanan dan wang yang dibayar kepada pemilik nombor yang diberikan," katanya.

Beliau menasihatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati apabila menerima tempahan, khususnya yang melibatkan jumlah besar.

"Jika melibatkan tempahan bernilai besar, sebaiknya berurusan secara bersemuka dan ambil deposit terlebih dahulu sebelum menyediakan pesanan.

"Sekurang-kurangnya jika ada deposit, kerugian dapat diminimumkan sekiranya berlaku penipuan," katanya.