12 pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 3:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 12 pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah

SUNGAI PETANI – Seorang pegawai dan 11 anggota polis dituduh semula di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, dua tahun lalu.

Tertuduh ialah Muhammad Shabri Salamat, 32, Syamsul Ismail, 29, S. Sarvindran, 30, Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31;, Khairol Nizam Mohamad, 36, Mohd. Arami Aluwi, 36, dan Muhammad Azri Zakariya, 37.

Lima lagi ialah G. Selva Kumar, 38, Wan Muneer Abdullah, 38, Muhammad Hazri Ramle, 42, Mohd Fazly Long, 47, dan Mohd Khairi Zakaria, 57.

Mereka yang berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Noor Fazlina Musa.

Mereka dituduh semula hari ini setelah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret di sini pada April lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan tanpa kebenaran memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan di sebuah premis di Aman Square, di sini antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober 2024.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Noor Fazlina, peguam, Datuk Suhaimi Ibrahim yang mewakili lapan tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dituduh semula selepas kes tersebut diputuskan sebagai DNAA pada peringkat setelah dua saksi memberi keterangan dengan perbicaraan dijalankan secara serentak.

Seterusnya, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Suhaimi kemudian memohon jaminan dikurangkan memandangkan semua anak guamnya kini digantung tugas sehingga kes selesai.

Peguam, Suhaimi dan Mohd Khairul Fairuz Rahman mewakili lapan tertuduh, manakala peguam, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili empat tertuduh.

Majistret di kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan antara RM1,800 hingga RM2,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November sebagai tarikh pengurusan kes.

Kosmo! pada 3 Oktober 2024 melaporkan Polis Diraja Malaysia menggantung tugas 12 pegawai dan anggota polis yang positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini pada 2 Oktober.

Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit kes jenayah dan masalah disiplin. – KOSMO! ONLINE

The post 12 pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved