12 Perompak Serang Pekebun Di Raub, Curi Durian Musang King Bernilai RM3,000!

18 Jul 2024 • 1:20 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Sekumpulan perompak bertindak agresif dengan memecah masuk sebuah kebun di Raub, Pahang dan mencuri sejumlah durian jenis Musang King bernilai RM3,000.

Memetik laporan Sin Chew Daily, kejadian itu berlaku pada 15 Julai lalu dan pekebun itu mengalami kecederaan pada kepala dan lengan.

Adik kepada lelaki berkenaan memberitahu, abangnya ternampak kumpulan perompak terdiri daripada 12 orang, sebelum salah seorangnya menetak kepalanya dengan parang sebanyak empat kali.

Seorang lagi pekebun lain memberitahu ternampak kumpulan perompak itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas menyerang mangsa.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA) iaitu Wilson Chang menggesa pihak polis mengambil tindakan segera bagi mengelakkan insiden sama terjadi lagi.