12 peserta pertandingan Ratu Pondan ditahan dalam serbuan JHEAINS

20 Nov 2026 • 3:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 12 peserta pertandingan Ratu Pondan ditahan dalam serbuan JHEAINS
Antara individu yang ditahan di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, Semporna.

SEMPORNA - Seramai 12 individu menyerupai wanita dipercayai menyertai pertandingan Ratu Pondan ditahan dalam serbuan operasi bersepadu yang dijalankan di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Semporna, Mohd Juseph Ahmad Kapala berkata, operasi yang diketuainya itu dilaksanakan bersama lima pegawainya dan dibantu 11 anggota polis.

"Dalam operasi itu, seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita ditangkap untuk tindakan lanjut.

"Pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan penganjuran pertandingan berkenaan, termasuk piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, operasi itu dilaksanakan melalui kerjasama JHEAINS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Kunak, JHEAINS turut menahan seorang pekerja lelaki yang dilaporkan berpakaian wanita dan bertudung.

Menurut kenyataan, tangkapan itu susulan aduan yang diterima oleh orang awam mengenai seorang pekerja ketika bertugas di sebuah premis perniagaan di daerah tersebut.

"Susulan aduan awam, JHEAINS Daerah Kunak memeriksa sebuah premis perniagaan dan menahan seorang pekerja lelaki berusia 20-an yang dilaporkan berpakaian wanita dan bertudung.

"Dalam memilih pakaian, kita juga hendaklah menjaga batas berpakaian bagi lelaki dan wanita sebagaimana yang digariskan dalam Islam, selaras dengan fitrah manusia.

"Semoga kita sentiasa diberi hikmah dalam menasihati dan menjaga maruah sesama insan," kata kenyataan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved