Op Taring Bravo 1: Empat ditahan, 64,100 liter diesel dirampas di Kedah 

13 Nov 2026 • 1:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Op Taring Bravo 1: Empat ditahan, 64,100 liter diesel dirampas di Kedah 

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang warga asing ditahan manakala 64,100 liter diesel bernilai RM439,085 yang disyaki diseleweng dirampas dalam serbuan Op Taring Bravo 1 di sebuah premis di kawasan perindustrian di Kedah pada Rabu lepas.

Serbuan kira-kira 11.30 malam itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Komander WCB/PSK Datuk Mohd Zaki Ashar berkata kesemua individu terbabit dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata rampasan itu melibatkan dua lori tangki yang masing-masing mengandungi kira-kira 4,500 liter dan 14,000 liter diesel; tiga tangki jenis skid tank dengan anggaran diesel sebanyak 18,000 liter diesel, 13,000 liter dan 14,000 liter; serta sebuah tong IBC berisi kira-kira 600 liter bahan api itu.

“Selain itu, polis turut merampas dua alat penyedut minyak, dua alat penyedut bermeter, tiga telefon bimbit serta beberapa peralatan dan kunci kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya.

Mohd Zaki berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk komponen berkaitan dianggarkan RM1,074,585.

Beliau berkata keempat-empat individu itu bersama kenderaan, diesel dan peralatan dirampas diserahkan kepada KPDN Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Siasatan juga akan memberi tumpuan kepada penglibatan setiap individu yang ditahan serta mengenal pasti kemungkinan wujudnya rangkaian atau pihak lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan penyelewengan tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Zaki berkata WCB/PSK akan terus mempergiat penguatkuasaan melalui risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan serta penyalahgunaan barang kawalan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved