120 belia sertai BBKWDDP Youth Retreat 2025

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 3:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Seramai 120 belia menyertai BBKWDDP Youth Retreat 2025 yang berlangsung di River Bay Beach.

Program berkenaan dilaksanakan dengan anjuran bersama ketua-ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2 serta Pandamai dengan kerjasama Dee Layun Resources sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya bersempena Jubli Perak Aktiviti Amal Dee Layun (Delca).

Pengerusi penganjur merangkap Ketua Kampung Pendamai Sylvia Belinggi berkata program itu bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan dan komunikasi belia.

“Matlamat kami adalah untuk mempersiapkan mereka memikul tanggungjawab sebagai generasi pemimpin masa depan,” katanya sambil menambah bahawa sesi yang dijalankan berbentuk holistik menggabungkan perkongsian ilmu, pembangunan peribadi dan aktiviti berpasukan.

Sesi pertama disampaikan oleh aktivis sosial Jo-Anna Sue Henly Rampas bertajuk “Belia Madani: Siapa Aku Untuk Memimpin” yang menekankan kepentingan jati diri, harga diri serta potensi kepimpinan sebagai asas melahirkan pemimpin berwibawa.

Sesi kedua dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah Datuk Ramzah Dambul bertema “Dari Akar Umbi Ke Aras Kepimpinan”.

Beliau menegaskan kepimpinan dibentuk melalui pengalaman, pembelajaran berterusan serta kepekaan terhadap isu-isu akar umbi.

Aktiviti penutup adalah pencarian harta karun mini turut diadakan, menguji semangat berpasukan, persaingan sihat dan kepimpinan kumpulan.

Dalam pada itu Pengasas Delca Eddysamond Layun berkata acara terbabit mencerminkan semangat 25 tahun Delca dalam menyokong pembangunan komuniti.

“Peranan Delca adalah berdiri bersama masyarakat akar umbi serta memberi peluang kepada belia untuk membina keyakinan dan jati diri,” katanya.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Ghazali Hajiji dengan kehadiran pemimpin masyarakat tempatan sebagai tanda sokongan.

Sylvia berkata program itu membuktikan bagaimana pemimpin akar umbi dan rakan kerjasama swasta boleh berganding bahu memupuk generasi belia sebagai tanggungjawab bersama.

Eddysamond menambah bahawa semangat Jubli Perak akan terus menjadi inspirasi Delca untuk menyokong generasi pemimpin masa depan Sabah.