120 pelajar Imtiaz cipta kelainan, khatam al-Quran atas air

13 Mar 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peserta menikmati keindahan Sungai Melaka sambil membaca al-Quran sempena program Khatam Al-Quran diadakan pada Khamis.Foto: Sinar.
image is not available
Peserta menikmati keindahan Sungai Melaka sambil membaca al-Quran sempena program Khatam Al-Quran diadakan pada Khamis.Foto: Sinar.

MELAKA – Seramai 120 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab mencipta kelainan apabila berjaya mengkhatamkan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh 45 minit di atas air.

Pengetua sekolah berkenaan, Muhammad Ikhwan Zahari berkata, pelajar tingkatan dua dan empat itu diberi peluang merasai pengalaman mengaji dalam bot Melaka River Cruise sambil menikmati menyusuri Sungai Melaka

Menurutnya, para pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan menaiki lima bot disediakan dan dipecahkan bacaan mengikut juzuk.

“Hasil perbincangan yang diadakan bersama, pelajar dalam satu bot akan membaca enam juzuk yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk diselesaikan.

**media[3462380]**

“Alhamdulillah, program ini merupakan satu kelainan kerana sebelum ini majlis khatam biasanya diadakan di masjid atau di sekolah tapi kali ini di atas Melaka River Cruise.

“Terima kasih kepada penganjur yang memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman berbeza,” katanya pada program yang diadakan pada Khamis.

Program itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dengan kerjasama sekolah berkenaan serta Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama, Melaka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, program khatam al-Quran tersebut merupakan inisiatif untuk mengimarahkan bulan Ramadan.

“Perjalanan bermula dari Pengkalan Rama sehingga ke muara Sungai Melaka sebelum berpatah balik ke Pengkalan Rama yang mengambil masa hampir satu jam, diikuti majlis berbuka puasa di Masjid Fathur Rahman.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk membawa generasi muda agar mencintai al-Quran. Inilah antara inisiatif dan objektif kita,” katanya.

Menurutnya, acara sama pernah diadakan pada 2013 sebelum dianjurkan semula pada 2026 dengan membabitkan pelajar Imtiaz disusuli Sekolah Kebangsaan Cheng pada Sabtu ini.

Shaharul berharap program ini turut membawa keberkatan kepada PPSPM yang kini telah menjangkau usia 20 tahun selain Imtiaz berusia 14 tahun.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program sama pada tahun hadapan sebagai acara tahunan dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menjayakannya.