
HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak di sini yang memasuki hari kedua hari ini disertai 124 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.
Operasi hari ini tertumpu kepada empat sektor pencarian iaitu A, B, C dan D melibatkan jarak keseluruhan sejauh 3.5 kilometer (km).
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Razak Muda berkata, Sektor C merupakan lokasi pencarian utama dengan dua pertiga kekuatan anggota penyelamat digerakkan ke kawasan berkenaan.
“Pencarian di sektor A, B dan D turut diteruskan dengan kekuatan anggota lebih terhad.
“Jarak pencarian di sektor A kira-kira satu kilometer, sektor B juga satu kilometer, sektor C antara 500 hingga 600 meter, manakala sektor D kira-kira satu kilometer,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau percaya tiga mangsa yang masih hilang berada di kawasan tidak melebihi Jambatan Pertak, Jambatan Senget dan Jambatan Gantung berdasarkan beberapa faktor terutama pergerakan arus air.
Jelasnya, lima mangsa yang dijumpai semalam masing-masing ditemukan di Sektor A dan C, sekali gus membantu pasukan penyelamat menentukan kawasan yang perlu diberikan tumpuan.
Operasi hari ini turut dibantu dua anjing pengesan Unit K9 JBPM, pasukan Storm, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Seekor anjing pengesan K9 memberikan petunjuk positif berdasarkan bau ketika pencarian pagi tadi, namun pemeriksaan menggunakan seekor lagi anjing tidak memberikan petunjuk sama.
“Walaupun begitu, kita tetap meneruskan pencarian dan setakat ini belum memperoleh sebarang petunjuk yang dapat mengesahkan lokasi mangsa,” katanya.
Tambahnya, pencarian hari ini turut dibuat menggunakan bantuan Unit Dron PDRM dan Unit Dron JBPM yang melaksanakan pemantauan dari udara. Operasi dijangka diteruskan sehingga pukul 6 petang sekiranya cuaca mengizinkan selain faktor pencahayaan.
The post 124 anggota penyelamat cari baki tiga mangsa hilang di Sungai Pertak appeared first on Kosmo Online.




