128 usahawan Pahang sertai program celik digital kuasai strategi e-dagang

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2025 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

128 usahawan Pahang sertai program celik digital kuasai strategi e-dagang

image is not available

01/10/2025 - 10:00

Sebahagian usahawan Pahang yang menyertai program celik digital di Kuantan baru-baru ini. - Gambar/Pahang Media Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Okt – Kerajaan Pahang terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri itu dengan penganjuran Program Outreach & Latihan E-Dagang (Celik Digital) yang menghimpunkan 128 usahawan tempatan bagi mendalami strategi dan kemahiran perniagaan digital.

Program tersebut membuka ruang ilmu kepada peserta untuk memahami potensi dagangan secara dalam talian, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran asas dan praktikal untuk menembusi pasaran lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.

Dengan peningkatan trend e-dagang, kesemua peserta program itu berpeluang mengembangkan produk tempatan ke pasaran global dan memperkukuh daya saing melalui inovasi, kejujuran berniaga dan kesungguhan untuk terus belajar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, visi jangka panjang program itu adalah melahirkan usahawan digital yang berdaya tahan dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Sasaran awal kita ialah sekitar 80 hingga 100 peserta sahaja pada awalnya namun ramai usahawan yang berminat untuk mengikuti program ini sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap strategi pemasaran digital dan pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada tahun ini, kerajaan negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan.

“Antara yang telah dilaksanakan ialah permohonan produk bersama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

“Sebelum ini, kerajaan negeri menganjurkan Karnival Pahang 1st di seluruh peringkat daerah sebagai salah satu kaedah promosi perniagaan dan perkhidmatan ke tahap antarabangsa,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi kewangan dan agensi berkaitan keusahawanan untuk membantu dari aspek pembiayaan dan pengembangan perniagaan secara menyeluruh.

Sesi libat urus itu memfokuskan aspek pemasaran, promosi produk dan pemerkasaan jenama tempatan. - DagangNews.com

standard