
GEORGE TOWN: Seramai 13 individu termasuk empat orang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah pada 12 Feb lepas.
Mereka terdiri daripada Mervyn Michael Wong, 47; Chuah Kim Long, 18; Chiew Zhen Yang, 20; Khaw Siang Khai, 27; Teoh Wah Lee, 19; Yeo Thiam Siang, 35; Choong Pek Chooi, 37; Ong Chiew Ying, 20; Koay Sze Chee, 39; serta empat remaja berumur 13 tahun hingga 17 tahun.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, dadah jenis ketamin seberat 1.87 gram didapati dalam milikan bersama mereka pada pukul 3.45 pagi 12 Feb lepas di dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Burmah di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM4,000 untuk setiap tertuduh, manakala peguam yang mewakili semua tertuduh, Tan Yen Sing memohon jumlah jaminan paling minimum memandangkan mereka mempunyai pendapatan bulanan yang rendah dan tidak tetap.
Majistret R. Manomani menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin untuk Mervyn Michael Wong, Khaw Siang Khai, Yeo Thiam Siang, Choong Pek Chooi dan Koay Sze Chee.
Sementara itu, jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin ditetapkan untuk Chuah Kim Long, Chiew Zhen Yang, Teoh Wah Lee dan Ong Chiew Ying, manakala bagi empat remaja bawah umur terbabit, jaminan ditetapkan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 24 Mei akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes. -Bernama

