13 pelajar UMS berdepan penggantungan, dibuang

LocalPolitics
24 Jun 2025 • 10:24 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Hayati Dzulkifli

Kota Kinabalu: Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 baru-baru ini, termasuk insiden membakar karikatur

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkemungkinan dikenakan tindakan gantung pengajian atau dibuang universiti.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, daripada jumlah tersebut, dua pelajar dikenal pasti terlibat secara langsung dalam tindakan membakar karikatur berkenaan.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau menegaskan UMS tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran perhimpunan itu yang tular di media sosial, dan pihak universiti telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Tindakan ini bukan sahaja bertentangan dengan norma perhimpunan aman, malah UMS menganggap perbuatan tersebut sebagai tidak bertamadun, tidak matang dan tidak mencerminkan pemikiran pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

“UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh membahayakan peserta mahupun orang awam,” tambahnya.

Dr Kasim turut melahirkan rasa kecewa apabila kumpulan pelajar terbabit turut mempertikaikan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.

Katanya, kesemua 13 pelajar itu akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada ahli akademik yang dilantik untuk menyiasat serta menentukan tindakan tatatertib berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan 2012).

“Jawatankuasa ini akan memanggil setiap pelajar secara individu untuk mendengar penjelasan mereka.

“Jika terdapat asas pertuduhan, sesi pendengaran akan dijalankan. Jawatankuasa juga akan mendapatkan nasihat perundangan daripada Penasihat Undang-undang Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum membuat keputusan tatatertib,” katanya.

Ditanya mengenai bentuk hukuman, Dr Kasim berkata, penggantungan pengajian akan mengambil kira tempoh semester yang akan ditentukan kemudian.

Beliau menegaskan UMS akan mengambil tindakan undang-undang dan tatatertib di bawah AUKU mengikut kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar terbabit.

Menurutnya, pihak pengurusan universiti menerusi Bahagian Keselamatan telah membuat laporan polis di Balai Polis Alamesra pada Isnin.

“Kedua-dua pelajar yang terlibat dalam insiden membakar karikatur – masing-masing pelajar tahun akhir dan pelajar tahun dua – dikenal pasti berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial.

“Kita sebenarnya sudah mengenal pasti seramai 13 pelajar UMS yang terlibat dalam perhimpunan itu,” katanya.

Beliau berkata, sebelum perhimpunan dua hari itu berlangsung hujung minggu lalu, pihaknya telah memanggil empat pemimpin pelajar Suara Mahasiswa UMS ke pejabat beliau dan menasihati mereka agar memastikan perhimpunan berjalan secara aman dan berhemah.

“Saya malah mencadangkan mereka menganjurkan forum sebagai alternatif kepada perhimpunan. Kita tidak menghalang kebebasan bersuara tetapi ia mesti dalam batas yang dibenarkan. Saya juga menasihati mereka supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada, khususnya AUKU, dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan nama serta imej UMS,” katanya.