Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mana-mana mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam insiden membakar karikatur beliau baru-baru ini dibuang daripada universiti.
Menurut Zambry, Perdana Menteri menganggap tindakan tersebut sebagai satu kesilapan, namun menekankan bahawa masa depan serta pengajian para pelajar perlu diberi keutamaan.
“Perdana Menteri berpesan agar pelajar UMS yang terlibat dalam insiden baru-baru ini tidak dibuang universiti.
“Bagi YAB Perdana Menteri, mereka mungkin melakukan kesilapan, tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya.
Terdahulu, beberapa peserta Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS disiasat atas sembilan kesalahan, termasuk perbuatan menghasut, pembakaran terbuka di tempat awam, membawa bahan kakisan berbahaya semasa perhimpunan, serta menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh turut mengecam tindakan mahasiswa terlibat menerusi satu hantaran di Facebook dan mencabar mereka untuk bertemunya secara bersemuka.
The post ‘PM pesan supaya pelajar UMS tidak dibuang universiti’ – Zambry appeared first on The Reporter.

