TEMERLOH - Seramai 13 penghuni termasuk seorang wanita warga emas dan tiga kanak-kanak terselamat dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Temerloh Jaya di sini awal pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.26 pagi.
"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati api sedang marak melibatkan tiga buah rumah teres terbakar.
"Sebuah rumah mengalami kemusnahan 80 peratus, manakala dua lagi masing-masing terbakar antara 20 hingga 30 peratus.
"Turut musnah sepenuhnya dalam kejadian itu sebuah kereta jenis Perodua Kancil," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan
Tambahnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin berjaya mengawal kebakaran dengan menggunakan teknik pemadaman menerusi dua aliran hos salur bantu mula dari tangki jentera serta satu aliran hos 100 kaki dari pili bomba.
“Pihak Balai Bantuan BBP Temerloh turut menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air bagi memastikan api tidak merebak ke unit kediaman lain.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.





