KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki menempuh detik mencemaskan apabila terkunci di dalam kereta milik ibunya dalam kejadian di hadapan sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Bandar Puncak Alam, di sini pada Selasa.
Menurut sumber, kanak-kanak berusia dua tahun itu dipercayai terperangkap hampir sejam selepas ibunya keluar dari kenderaan untuk menjemput seorang lagi anak di premis berkenaan.
Difahamkan orang ramai turut membantu membuka pintu kenderaan tersebut bagaimanapun gagal sebelum pihak bomba dihubungi untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 tengah hari.
Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.
"Komander operasi melaporkan setibanya di lokasi terdapat seorang kanak-kanak terkunci di dalam sebuah kereta.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bertugas menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi dikendalikan oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Rosdi Hainan bersama empat anggota lain.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.






