
SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri membawa 13 usahawan menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) bagi memperluas capaian produk tempatan ke pasaran antarabangsa.
EXCO Usahawan, Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan dalam ekspo perdagangan antarabangsa yang bermula semalam hingga 10 November bukan sahaja membuka peluang eksport, malah memperkukuh jenama usahawan Selangor di pentas global.
Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menawarkan RM20,000 bagi setiap reruai, tetapi Kerajaan Negeri menanggung 90 peratus kos penyertaan untuk memudahkan usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
“Selain Kerajaan Negeri, 12 pihak berkuasa tempatan turut menyumbang kos bagi setiap peserta. Dengan inisiatif ini, usahawan hanya perlu membayar RM2,000 untuk menyertai ekspo, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem keusahawanan.
“Malah, mereka berpeluang memperluas eksport produk tempatan dan mengukuhkan jenama usahawan Selangor di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekspo tersebut turut disertai 10 usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Penganjuran kali ke-9 itu dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang.



