KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mendapatkan penjelasan lanjut serta kerjasama pihak berkuasa Pakistan berhubung penahanan 130 rakyat negara ini yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan siber di Rawalpindi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan penyiasat jenayah komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Pakistan bagi menentukan tindakan susulan.
Beliau berkata, maklumat awal mengenai penahanan itu diterima daripada rakan sejawatnya di Pakistan menerusi panggilan telefon kira-kira dua minggu lalu.
“Ketika itu, rakan sejawat saya di Pakistan menghubungi dan memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan telah ditahan di negara berkenaan.
“Itulah pengesahan pertama yang saya terima mengenai perkara tersebut,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau akan meneliti laporan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum menentukan langkah seterusnya.
Sebelum ini, media Pakistan melaporkan, Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) negara itu telah menyerbu sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi.
Serbuan berkenaan dipercayai membongkar kegiatan penipuan kewangan yang menyasarkan mangsa di Malaysia.
Sindiket terbabit didakwa menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank dan anggota polis sebelum mengugut mangsa menggunakan dakwaan palsu kononnya mereka terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membincangkan pelantikan pengganti Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, susulan keputusan mengembalikan pegawai itu ke PDRM.
“Belum lagi. Kami belum membincangkan perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai perancangan mengisi jawatan berkenaan.
Mengulas status perkhidmatan Mohd Shuhaily, beliau berkata, perkara itu akan diuruskan mengikut peraturan perkhidmatan awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai berkenaan.
“Dari sudut perkhidmatan awam, apabila seseorang itu telah didakwa, terdapat sistem dan prosedur yang perlu dikendalikan oleh bahagian perkhidmatan awam,” katanya.
Terdahulu, KDN memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah AKPS secara pinjaman, kepada PDRM.
Bagaimanapun, satu hantaran di laman Facebook rasmi AKPS menunjukkan beliau kembali menjalankan tugas selepas bercuti minggu lalu, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Perjumpaan Komander Bilangan 3/2026 hari ini.
Mohd Shuhaily sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu. - Getaran, 2 November 2026






