Malaysia, Pakistan bincang tindakan susulan penahanan 130 rakyat Malaysia

2 Nov 2026 • 4:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Malaysia, Pakistan bincang tindakan susulan penahanan 130 rakyat Malaysia

Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa Pakistan mengadakan perbincangan susulan penahanan 130 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian di Rawalpindi.

ALOR SETAR: Malaysia dan Pakistan sedang mengadakan perbincangan bagi menyelaras tindakan susulan berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian di negara itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan jabatan berkaitan di Pakistan, berikutan pengesahan penahanan berkenaan oleh rakan sejawatnya dari negara itu kira-kira dua minggu lepas.

“Dalam dua minggu lepas, saya menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat Menteri Dalam Negeri Pakistan yang memaklumkan bahawa sejumlah rakyat Malaysia disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian telah ditahan di negara itu.

“Dalam tempoh yang sama, polis Kedah turut menjalankan operasi yang membawa kepada penahanan 33 warga Pakistan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), selain beberapa warga India.

“Berikutan itu, saya meminta Pengarah JSJK Bukit Aman supaya segera mengadakan perbincangan dengan jabatan berkaitan di Pakistan bagi menyelaras tindakan berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Pemandu Bas Negeri Kedah yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata perbincangan berkenaan sedang berlangsung dan beliau akan menerima laporan mengenainya bagi menentukan hala tuju tindakan selanjutnya.

Mengulas mengenai 33 warga Pakistan yang ditahan dalam operasi di KHTP sebelum ini, beliau berkata mereka telah didakwa di mahkamah.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 130 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi, baru-baru ini berhubung penglibatan mereka dalam sindiket jenayah siber.

Sementara itu, mengenai pengisian jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Saifuddin Nasution berkata belum ada perbincangan dilakukan berhubung pengganti Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata sebarang tindakan terhadap penjawat awam yang berdepan siasatan dan pertuduhan perlu diuruskan mengikut sistem serta prosedur perkhidmatan awam yang ditetapkan.

“Kita belum bincang dan belum melihat apa-apa lagi. Dari segi penjawat awam, apabila berlaku sesuatu kejadian yang membawa kepada siasatan dan seterusnya pertuduhan, ada sistem yang perlu dipatuhi dan perkara itu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam. Itulah yang sedang dilakukan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved