
JAKARTA – Sekurang-kurangnya 133 pelajar sekolah berasrama penuh Islam Baiti Jannati di Sukabumi, wilayah Jawa Barat dikejarkan ke hospital selepas mengalami pening, mual, cirit-birit dan muntah, lapor laman berita Jakarta Globe.
Mereka disyaki mengalami keracunan makanan berpunca daripada hidangan yang disediakan di bawah program makanan berkhasiat percuma kerajaan Indonesia.
Para pelajar mula melaporkan simptom keracunan makanan selepas menikmati hidangan yang diagihkan melalui program tersebut, Jumaat lalu, dengan jumlah mereka yang jatuh sakit terus meningkat pada hari berikutnya.
Pegawai sekolah tersebut, Faid Fauzan berkata, seorang guru wanita turut mengalami simptom sama.
“Pada awalnya, kami membawa beberapa kanak-kanak yang muntah ke pusat kesihatan komuniti terdekat, dan mereka kemudiannya dinasihatkan untuk pergi ke Hospital Daerah Al-Mulk.
“Memandangkan jumlah pelajar jatuh sakit terus meningkat, Hospital Al-Mulk mengesyorkan agar sebahagian daripada pesakit dirujuk ke Hospital Daerah Syamsudin,” kata Faid kepada pemberita pada semalam.
Pelajar dan guru yang terjejas telah menerima rawatan di beberapa fasiliti kesihatan, manakala pentadbir sekolah menyatakan keutamaan serta-merta adalah pemulihan mereka yang jatuh sakit. – AGENSI
The post 133 pelajar sekolah asrama penuh keracunan makan makanan percuma appeared first on Kosmo Digital.




