
KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli 2025 di Parlimen hari ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam menangani kes seumpama itu, yang semakin bermaharajalela.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, purata 14,000 kes buli setahun dilaporkan di sekolah seluruh Malaysia.
Menurut beliau, RUU berkenaan menyediakan perlindungan lebih kukuh untuk kanak-kanak dan remaja, di samping memformalkan mekanisme pelaporan serta penyelesaian insiden.
“Angka dibentangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 160 insiden direkodkan dalam tempoh dua bulan sahaja, dari Ogos hingga Oktober, dengan 78 peratus mangsa berusia antara enam hingga 17 tahun.
“Statistik, termasuk data daripada Sistem Identiti Diri Murid Kementerian Pendidikan, mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama berlakunya buli, dan kanak-kanak kekal sebagai kumpulan paling terdedah,” katanya.
Lebih membimbangkan jelas Azalina, ialah hakikat bahawa majoriti insiden berlaku di sekolah, yang seharusnya menjadi kawasan paling selamat.
Menegaskan keperluan intervensi segera, beliau berkata, RUU tersebut untuk fasa awal mencakupi individu bawah 18 tahun, manakala fasa berikutnya membabitkan perluasan ke atas golongan dewasa.
“Antara komponen utama rang undang-undang tersebut ialah penubuhan Tribunal Anti-Buli, yang diberikan kuasa kuasi-kehakiman untuk mendengar aduan, menilai bukti dan mengeluarkan keputusan yang mengikat.
“Pelaku boleh diarahkan membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000,” katanya.
Mengulas lanjut Azalina berkata, kuasi-kehakiman bererti tribunal berfungsi seperti badan kehakiman iaitu mendengar keterangan, menilai bukti dan membuat keputusan yang mengikat, namun melibatkan proses lebih ringkas dan mesra pengguna berbanding mahkamah.
“Sekolah dan institusi pendidikan akan diwajibkan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi mencegah serta mengurus kes buli, memastikan pendekatan lebih seragam di seluruh negara.
“Aduan boleh dirujuk kepada tribunal jika insiden berlaku di premis pendidikan, jika jawatankuasa sekolah gagal mengambil tindakan, jika kes berlaku di luar kawasan sekolah melibatkan pelajar berdaftar, atau jika mangsa ialah kanak-kanak yang tidak bersekolah.
Azalina menarik perhatian, beliau turut mengemukakan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, yang menunjukkan 18.6 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun pernah mengalami buli, dengan mangsa berdepan risiko kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri sendiri tiga kali lebih tinggi.
“Semua langkah ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk melindungi kanak-kanak daripada gejala buli di sekolah, di samping memacu reformasi perundangan lebih menyeluruh bagi menegakkan hak asasi manusia dan menjamin keselamatan awam,” katanya. - Getaran, 3 Disember 2025
