
KERAJAAN Negeri melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan berjumlah RM210.25 juta sepanjang lima tahun lalu yang memberi manfaat kepada ramai pelajar di seluruh Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata seramai 90,296 pelajar institusi pengajian tinggi, 184,911 pelajar sekolah, 1,500 sekolah termasuk sekolah agama serta 57 persatuan pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi telah menerima manfaat, selain pelaksanaan 362 program pendidikan.
Beliau berkata pada tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memanfaatkan 5,000 pelajar.
“Peruntukan besar ini membuktikan keupayaan dan komitmen tinggi kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya ketika melancarkan Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa) 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, pada Khamis.
Seramai 3,366 pelajar Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan Sentosa secara tunai.
Hajiji berkata bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar Sabah yang berusaha menuntut ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri.
Beliau berkata bantuan tersebut juga dijangka meringankan beban kewangan pelajar, khususnya bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.
“Tahun ini dianggarkan 30,000 pelajar Sabah yang belajar di institusi pengajian tinggi dalam negeri akan mendapat manfaat daripada bantuan Sentosa,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif pendidikan itu tahun ini, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi Secara One-Off (Budi), Inisiatif Bantuan Komputer (Baik), Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (Bakti), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah (Bistari), Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (Bagus), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (Balkis) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (Bantu).
Turut diteruskan ialah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (Aksa), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta), Bantuan Pulang Graduan Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-Subfly), Sentosa, Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (Sukses) serta bantuan baharu Bayaran Pendaftaran Yuran Muet (Bayu).
Beliau berkata inisiatif itu melibatkan pembiayaan dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi, program pendidikan serta sokongan digital dan kemudahan selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13.
Katanya, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, Kerajaan Negeri kekal proaktif dalam memupuk kerjasama berterusan bagi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.
Usaha itu juga selaras dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 yang menjadi pelan strategik negeri untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti secara mampan serta inklusif.
“Pelajar adalah pemimpin masa depan. Berikan tumpuan kepada pembelajaran dan latihan kerana ilmu adalah kunci untuk memajukan negeri dan negara.
“Manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat yang disediakan kerajaan, selain mengikuti setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik,” katanya.


