15 April titik perubahan, sektor awam, badan berkanun mula bekerja dari rumah

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 9:24 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi kementerian dan agensi kerajaan, tidak termasuk badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bermula 15 April ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api selain memastikan kemampanan bekalan tenaga negara dalam menghadapi krisis tenaga global.

Menurut beliau, perincian lanjut mengenai pelaksanaan dasar berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat.

“Berapa jumlah belanja untuk menyerap impak minyak yang meningkat ini? RM4 bilion sebulan.

“Ini bukan perkara kecil. Pihak yang menimbulkan isu ini harus faham bahawa kerajaan menyalurkan tambahan RM4 bilion untuk membantu menahan kesan kenaikan harga,” katanya dalam satu taklimat ringkas hari ini.

Tambah beliau, kerajaan turut mengalu-alukan cadangan daripada rakyat pelbagai lapisan termasuk peniaga, nelayan dan pekerja bagi membantu negara menangani cabaran semasa.

“Tetapi keupayaan kita ada batasnya, dan kita perlu melihat pengalaman negara lain.

“Jika ada cadangan daripada peniaga, nelayan atau pekerja, sila kemukakan.

“Majlis Tindakan Ekonomi dan jawatankuasa berkaitan Jemaah Menteri bermesyuarat setiap hari, dan kita turut memanggil wakil-wakil industri serta rakyat.

“Saya sendiri akan bertemu kontraktor kecil, wakil nelayan dan petani untuk mendengar keluhan mereka serta mencari jalan membantu setakat kemampuan,” katanya lagi. – MYBERITA