15 kapal perang luar negara jadi tarikan segmen maritim LIMA 2025

13 May 2025 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

15 kapal perang luar negara jadi tarikan segmen maritim LIMA 2025

image is not available

13/05/2025 - 10:21

Penyertaan frigat ITS Antonio Marceglia memberi peluang pengunjung melihat teknologi moden yang dimiliki. Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 13 Mei - Jika persembahan aerobatik menjadi tarikan pada segmen udara LIMA 2025, segmen maritim yang bertempat di Resort World Langkawi tidak kurang hebatnya.

Bermula minggu ini, perairan Langkawi akan sibuk menerima kehadiran 15 kapal perang milik tentera laut dari 11 negara yang hadir.

Penyertaan armada antarabangsa ini termasuk kapal perang terkemuka dunia seperti ITS Antonio Marceglia dari Itali, JS Yahagi (Jepun), TCG Büyükada (Turkiye), RSS Steadfast (Singapura) dan USS Lenah Sutcliffe Higbee (Amerika Syarikat).

Selebihnya ialah kapal perang dari Pakistan, Indonesia, India, Rusia, Thailand dan Bangladesh.

image is not available
Frigat ITS Antonio Marceglia.

image is not available

Kecuali kapal RSS Steadfast, 4 kapal perang iaitu dari Itali, Jepun, Türkiye dan Amerika Syarikat merupakan aset-aset baharu yang menjadi tunggak kekuatan maritim negara tersebut.

ITS Antonio Marceglia (F-597) iaitu frigat pelbagai peranan (FREMM) kelas Bergamini ditauliahkan pada 2018 dan dalam pelayaran ke rantau Indo-Pasifik untuk latihan, pameran dan melawat negara serantau.

Ia merupakan kapal kelapan dalam kelas tersebut daripada 10 buah kesemuanya dengan peranan sebagai frigat peperangan antipermukaan (ASuW) dan antiudara (AAW).

FREMM merupakan konsep kapal perang masa kini yang mana frigat jenis ini boleh ditugaskan untuk pelbagai jenis operasi tempur termasuk ancaman tidak simetri.

Kapal ini dilengkapi dengan meriam utama Leonardo 127/64mm, meriam Super Rapid 76/62mm, peluru berpandu antikapal Otomat Mk2 dan peluru berpandu Aster 15.

image is not available
JS Yahagi.

image is not available

Begitu juga kapal perang Jepun, JS Yahagi yang merupakan frigat pelbagai peranan kelas Mogami kelima daripada 12 buah yang dirancang dimiliki Jepun.

Mula diguna tahun lalu, peranan utama kapal ini ialah untuk misi pengawasan di perairan sekitar kepulauan Jepun termasuk Laut China Timur.

Sebelum berlabuh di Langkawi, JS Yahagi terlibat dalam Latihan Balikatan 2025 iaitu latihan maritim multinasional dengan Amerika Syarikat dan Filipina.

Dengan berat 5,500 tan dan panjang 132.5 meter, JS Yahagi hanya mempunyai 90 kru kerana mempunyai tahap automasi yang tinggi di atas kapal.

USS Lenah Sutcliffe Higbee pula adalah kapal pemusnah peluru berpandu berpandu Aegis kelas Arleigh Burke ke-72 yang dimiliki Tentera Laut Amerika Syarikat.

image is not available
USS Lenah Sutcliffe Higbee.

image is not available

image is not available
Frigat RSS Steadfast' (70) bersama RSS Tenacious (71) di Pangkalan Laut Changi, Singapura.

Ditauliahkan pada tahun 2023, kapal kelas Arleigh Burke adalah tulang belakang USN dengan peranan bagi operasi peperangan permukaan, antikapal selam dan antipesawat.

Turut bersauh bersama kapal-kapal negara luar ini ialah 15 kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 5 daripada Maritim Malaysia (APMM).

Penyertaan APMM pula melibatkan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah, KM Langkawi, KM Gagah, KM Mulia dan KM Perwira.

Ini merupakan penyertaan kali pertama kapal ronda pesisir (OPV) buatan tempatan KM Tun Fatimah pada LIMA selepas ditauliahkan pada Januari lalu - DagangNews.com

standard