Perdana utamakan kapal terpakai naik taraf armada

LocalBusiness & Finance
13 May 2025 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdana utamakan kapal terpakai naik taraf armada

image is not available

13/05/2025 - 10:47

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mei – Syarikat perkhidmatan marin luar pesisir, Perdana Petroleum Bhd, memilih untuk membeli kapal terpakai yang lebih muda berbanding melabur dalam kapal baharu bagi menaik taraf armadanya.

Menurut Pengarah Urusannya, Jamalludin Obeng, pilihan sementara itu lebih menjimatkan kos dan fleksibel memandangkan sukar untuk mendapatkan pembiayaan bank bagi kapal baharu.

Beliau berkata, kumpulan sedang menilai pendekatan tersebut dengan memastikan kapal terpakai yang ingin dibeli memenuhi piawaian industri seperti had umur, peraturan alam sekitar, serta keupayaan prestasi.

Faktor lain yang dipertimbangkan adalah sama ada kapal tersebut boleh diserap dengan mudah ke dalam operasi armada sedia ada tanpa pengubahsuaian besar, serta mampu memberikan pulangan pelaburan yang baik.

Pada 2022, Petronas melanjutkan had umur untuk kapal bekalan luar pesisir (OSV) daripada 15 tahun kepada 20 tahun berikutan armada yang semakin tua dalam kalangan pemilik OSV yang menyokong penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di perairan Malaysia.

"Oleh kerana kapal sedia ada hampir mencapai had umur industri iaitu 20 tahun bagi kapal AHTS dan 25 tahun bagi kapal AWB serta WB, Perdana sedang aktif mencari cara untuk memperbaharui armadanya supaya terus bersaing dan memimpin pasaran.

"Walaupun pembelian kapal baharu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang, membeli kapal terpakai yang lebih muda dilihat lebih menjimatkan dan fleksibel kerana sukar untuk mendapatkan pinjaman bank bagi kapal baharu,” kata Jamalludin dalam laporan tahunan 2024 syarikat itu.

Namun, beliau berkata institusi kewangan kini mula menunjukkan minat semula untuk membiayai pembelian kapal, selepas tempoh pinjaman yang perlahan, terutamanya apabila syarikat minyak semakin banyak menawarkan kontrak jangka panjang kepada syarikat sewaan kapal.

Perdana, anak syarikat Dayang Enterprise Holdings Bhd, mengoperasikan 14 OSV, termasuk lapan AHTS, lima AWB dan satu WB.

Armada itu mempunyai kapasiti penginapan untuk 1,951 penumpang pada operasi penuh.

Kapal AHTS Perdana dibina antara 2008 dan 2010, manakala AWB dan WB dibina masing-masing 2013 dan 2014.

Jamalludin berkata, pengenalan armada OSV yang lebih moden akan memperluas capaian pasaran dan keupayaan Perdana, membolehkan kumpulan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

"Perdana akan mengambil pendekatan praktikal dan berhati-hati dalam menilai pilihan pembiayaan sedia ada, sambil terbuka kepada peluang pemerolehan strategik atau usaha sama bagi memulihkan portfolio aset.

"Kelayakan kewangan bagi pembelian kapal baharu juga akan dinilai dengan teliti selaras dengan keperluan operasi jangka panjang dan kelas aset yang optimum," ujarnya.

Mengenai prospek perniagaan sewaan OSV tahun ini, Jamalludin berkata ia positif, tetapi mencabar akibat ketegangan geopolitik, turun naik harga minyak, konflik perdagangan global dan perubahan keadaan pasaran.

Beliau berkata risiko geopolitik, terutamanya di Asia Barat dan perang perdagangan boleh menyebabkan harga minyak tidak stabil dan mengganggu rantaian bekalan, seterusnya menjejaskan permintaan perkhidmatan luar pesisir.

"Kadar sewa harian dijangka meningkat lagi ekoran kekurangan kapal di rantau Asia Tenggara," jelasnya. - DagangNews.com

standard