15 lagi kes dikaitkan dengan lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor

13 Nov 2026 • 12:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

SHAH ALAM: Terdapat 15 lagi kes penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pegawai pengiring (ADC) kepada Raja Muda Selangor berkaitan urusan jual beli kenderaan dan hartanah tidak wujud.

Kesemua kes tersebut adalah sebahagian daripada 17 laporan yang diterima berkaitan penyalahgunaan gambar Tengku Amir Shah dan penyamaran sebagai wakil baginda supaya dapat meraih kepercayaan mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun kesemua 15 kes sudah pun dilengkapkan kertas siasatannya dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor.

“Kesemua 17 kertas siasatan sudah pun selesai dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kita sedang menunggu arahan lanjut bagi baki 15 kes lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menambah, sekurang-kurangnya terdapat 27 kes dikesan di seluruh negara yang melibatkan kerugian mencecah RM1.4 juta didalangi oleh dua suspek utama iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan.

Katanya, suspek sudah pun didakwa dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, kelmarin di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas pertuduhan bersubahat dan menipu.

Malah, kedua-duanya turut didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan seorang lagi mangsa.

Seksyen 420 itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Shazeli memberitahu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat serta memberikan kerjasama sehingga suspek berjaya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Oktober lalu, Polis Selangor dilapor menyiasat dakwaan individu menyamar sebagai juruiring atau Aide-de-Camp (ADC) kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar baginda menerusi hantaran oleh pemilik akaun media sosial Threads, dwan_hamid. – UTUSAN

The post 15 lagi kes dikaitkan dengan lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved