
15 Peratus Rakyat Terkesan Harga Diesel Meningkat, 85 Peratus Lagi Guna Harga Subsidi - PM Anwar
KOTA BHARU -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa sebanyak 15 peratus rakyat terkesan dengan peningkatan harga diesel manakala 85 peratus lagi membeli bahan api itu dengan harga subsidi, bukannya harga pasaran.
"Orang bangkitkan minyak diesel yang tinggi, Saya akui dan setuju ada yang terkesan kepada 15 peratus rakyat.
"85 peratus rakyat tidak menggunakan diesel dengan harga pasaran tetapi harga subsidi," kata beliau.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu ada golongan nelayan terkesan dengan kenaikan diesel, sedangkan golongan nelayan menggunakan harga minyak subsidi.
"Jadi jangan beri contoh seperti mana diviralkan. Apakah harus ada beberapa langkah lain yang kerajaan harus fikirkan untuk meringankan beban rakyat?
"Ya, kita ada rundingan setiap hari untuk mencari jalan meringankan dan meredakan beban rakyat," katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.





