157 keluarga Orang Asli terima sumbangan makanan Mapim

11 Nov 2024 • 8:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Setiausaha Agung Mapim, Muhammad Faris Hussien (lima dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk Orang Asli.

image is not available
Wakil sukarelawan program Jelajah Peduli Ummah sedang berbual bersama komuniti Orang Asli.

image is not available
Wakil sukarelawan dalam program Jelajah Peduli Ummah.

SHAH ALAM - Sebanyak 157 keluarga dari penempatan Kampung Orang Asli (KOA) Peta, Tewowoh, dan Pengkalan Bukit menerima bantuan makanan sebagai persediaan menghadapi musim banjir tidak lama lagi.

Daripada jumlah tersebut, 113 keluarga melibatkan komuniti KOA Peta, Tewowoh (31 keluarga) dan Pengkalan Bukit (13 keluarga).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Sani Araby Al Kahery berkata, pengagihan sumbangan menerusi program Jelajah Peduli Ummah itu turut merangkumi bantuan kotak makanan, jamuan makan malam kepada 150 penduduk kampung dan klinik bergerak bagi pemeriksaan kesihatan.

“Sebagai tambahan, 50 unit meja belajar telah disumbangkan kepada Sekolah Rimba yang diasaskan oleh Malaysian Relief Agency (MRA) Johor di KOA Peta, sebuah sekolah unik yang menekankan pendidikan tradisional Orang Asli.

“Sekolah ini dikendalikan oleh penduduk kampung sendiri, yang berkongsi ilmu budaya dan tradisi sebagai langkah untuk memelihara warisan yang berharga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar Sani Araby, penganjuran acara pada 2 hingga 5 November lalu itu juga bagi menyahut saranan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menekankan kepentingan memberi perhatian kepada masyarakat terpinggir.

Menurutnya, kawasan KOA Peta, yang dikenal pasti sebagai zon merah berisiko tinggi banjir mendapat perhatian khas dalam agihan sumbangan berkenaan dan selaras dengan misi kemanusiaan Mapim kali ini.

Tambah beliau, program dengan kerjasama rakan strategik seperti Cinta Gaza Malaysia (CGM), ZUS Coffee dan MRA turut menjalankan pelbagai aktiviti bagi memperkasa komuniti serta memupuk kesepaduan nasional.

“Program ini melibatkan penyertaan lebih 50 sukarelawan dan 14 buah pacuan empat roda,” menurutnya.

Sementara itu, Pengarah Program, Aiman Syafiq dalam kenyataan sama berkata, program tersebut disifatkan sebagai usaha memperkukuhkan ikatan antara masyarakat.

“Kami bertekad untuk memahami keperluan mereka serta memastikan setiap individu merasai manfaat daripada inisiatif ini,” ujarnya.