157 majikan ambil PATI dikompaun RM3.8 juta

20 Nov 2026 • 3:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 157 majikan ambil PATI dikompaun RM3.8 juta

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor mengeluarkan kompaun bernilai RM3.8 juta terhadap 157 majikan di Selangor atas kesalahan menggaji atau melindungi pekerja asing secara tidak sah antara Januari hingga Oktober lalu.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai alasan diberikan majikan termasuk kekurangan tenaga kerja dan mahu menjimatkan kos sehingga menggaji pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang imigresen.

Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, antara sektor yang dikenal pasti terbabit dalam kesalahan berkenaan ialah pembinaan, perladangan dan perkhidmatan.

“Ada juga majikan yang memberi alasan mahu membantu warga asing atau berdepan kekurangan tenaga kerja, justeru mengambil jalan mudah dengan menggaji mereka.

“Ada juga majikan yang berbuat demikian bagi menjimatkan kos,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Selangor di sini, hari ini.

Mohmad Khusairi berkata, meskipun berulang kali diberi amaran, masih ada majikan yang menggaji pekerja asing dalam sektor dan di lokasi berlainan daripada yang dibenarkan dalam pas masing-masing.

“Walaupun sudah banyak kali diberi peringatan, masih ada majikan yang menggunakan pekerja asing dalam sektor yang berlainan.

“Contohnya, pekerja yang sepatutnya bekerja dalam sektor perkilangan ditempatkan dalam sektor perladangan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terhadap majikan diambil mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, masing-masing atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing secara tidak sah.

Bagi kesalahan menggaji pekerja asing yang tidak memiliki pas sah mengikut Seksyen 55B akta sama, majikan boleh dikenakan denda minimum RM10,000 hingga maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang digaji.

Mohmad Khusairi turut menggesa majikan di negeri ini supaya memastikan pekerja asing yang digaji memiliki pas sah serta ditempatkan mengikut sektor dan lokasi yang dibenarkan.

“Jangan menggunakan pekerja yang tidak sepatutnya berada di situ untuk bekerja di premis berkenaan.

“Imigresen Selangor akan terus menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa,”jelasnya.

Terdahulu, Imigresen Selangor menahan 30 warga asing dalam serbuan di sebuah kilang dobi di Subang Jaya, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

Satu Borang 29 iaitu notis Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada seorang warga tempatan bagi membantu siasatan.-UTUSAN

The post 157 majikan ambil PATI dikompaun RM3.8 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved