16 babak filem perlu dipotong, nak lepas LPF – Pengarah filem Baga

Movie
30 Oct 2026 • 12:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 16 babak filem perlu dipotong, nak lepas LPF – Pengarah filem Baga

KUALA LUMPUR – Gara-gara memaparkan beberapa babak penyalahgunaan dadah, pengarah Ariff Zulkarnain mengakui terpaksa melalui proses panjang kira-kira dua tahun bagi mendapatkan kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk filem pertamanya, Baga: Esok Untuk Siapa.

Meskipun berdepan jalan berliku, Ariff berpegang pada prinsip untuk tidak mengalah sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bersama pihak penerbit.

“Pada peringkat awal, terdapat 16 babak yang diminta untuk dipotong atas faktor penapisan.

“Kami tidak mahu mengalah, sebaliknya cuba menyusun semula jalan cerita dan mengolah babak yang dipersoalkan supaya mesej asal filem tidak terjejas.

“Proses itu mengambil masa kira-kira setahun kerana kami perlu berulang-alik berurusan dengan LPF,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pengarah dan pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa di Balai Berita Bangsar, semalam.

Tambah pengarah siri popular, One Cent Thief dan Good Boys Go To Heaven itu, pihaknya perlu mengharungi beberapa siri rayuan pindaan sebelum naskhah berkenaan akhirnya mendapat lampu hijau.

“Kami membuat rayuan tetapi masih tidak berjaya. Selepas itu, kami melakukan beberapa pindaan sebelum menghantar semula filem berkenaan.

“Sehinggalah pada percubaan keempat, jumlah babak yang perlu dipotong semakin berkurangan daripada 16 kepada lapan, kemudian enam dan akhirnya tinggal tiga babak.

“Pada peringkat terakhir, saya dan penerbit Syafiq Yusof serta Syafiq Kyle bertemu sendiri dengan Pengerusi LPF untuk membuat rayuan.

“Akhirnya, filem ini diluluskan dengan syarat kami perlu meletakkan penafian bahawa karya tersebut tidak bertujuan mengagungkan penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ariff memilih pendekatan realisme sosial agar penonton dapat merasai impak sebenar penceritaan tanpa berselindung di sebalik imej yang terlalu lembut.

“Menurut LPF, beberapa babak berkenaan terlalu jelas dan realistik sehingga dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam. Tetapi sebagai pembikin filem, sudah tentu saya mahu menghasilkan sesuatu yang kelihatan realistik.

“Tambahan pula, karya ini menggunakan pendekatan realisme sosial. Jadi, saya mahu penonton merasai kegelisahan dan ketidakselesaan apabila melihat situasi tersebut.

“Bagaimanapun, kami menghormati keputusan LPF dan sudah menerima perkara itu dengan hati terbuka,” katanya.

Namun, dia menegaskan naskhah tersebut sama sekali tidak berniat untuk memuja kegiatan haram terbabit, sebaliknya bertindak sebagai cermin kesedaran buat masyarakat terhadap bahaya merosakkan jiwa akibat dadah.

“Sebenarnya, sejak awal lagi kami tidak pernah berniat untuk terlalu mengangkat mengenai dadah.

“Bagi saya, kalau babak penyalahgunaan dadah dipaparkan terlalu lembut atau tersirat, penonton mungkin tidak dapat merasai kesan sebenar daripada cerita itu.

“Saya mahu penonton berasa tidak selesa apabila menyaksikan babak tertentu.

“Kalau kita sendiri berasa gelisah melihat perkara itu di layar, bayangkan apabila benar-benar berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

Pihak produksi tetap menghormati keputusan LPF yang mengklasifikasikan filem berkenaan sebagai P16 (untuk penonton berumur 16 tahun ke atas).

Baga: Esok Untuk Siapa menampilkan gandingan buat kali pertama antara Amir Ahnaf dan Amirah Razak selaku teraju utama bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 5 November ini.

Filem genre jenayah dan drama terbitan Indigo Films tersebut turut menampilkan barisan pelakon lain antaranya Wan Hanafi Su, Cehc Adrea, Kimal Mokhtar, Idham Maulana dan Mat Over. – KOSMO! ONLINE

The post 16 babak filem perlu dipotong, nak lepas LPF – Pengarah filem Baga appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved