‘Saya tak marah Elizabeth Tan, dahulu saya juga begitu’

EntertainmentMovie
21 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya tak marah Elizabeth Tan, dahulu saya juga begitu’

BERLAPANG dada berdepan kecaman sementelah pekerjaan pertamanya sebagai pengarah menerusi karya Pemuja Syaitan dikatakan kurang menepati piawaian layar perak, Liyana Jasmay tidak melatah.

Sebaliknya, Liyana, 38, berkata, sebagai seorang sutradara baharu, masih banyak penambahbaikan yang boleh dilakukannya untuk filem-filem akan datang.

Dia juga tidak mengambil hati apabila salah seorang pelakon yang berlakon dalam filem terbabit, Elizabeth Tan, dikatakan tidak berpuas hati dengan hasil akhirnya naskhah terbabit.

“Saya tak marah (Elizabeth) pun, saya rasa apa yang diluahkannya adalah perkongsian solid dari hati.

“Dahulu masa saya aktif berlakon, saya pun begitu, sama seperti dia. Tetapi sekarang, sebagai seorang pengarah, jujur saya berpuas hati dengan lakonannya dalam Pemuja Syaitan,” ujarnya kepada HibGlam pada sesi bersama dengan media di ibu negara baru-baru ini.

Cukup dikenali menerusi Papadom, Liyana sendiri mengakui, dia juga sangat berterus-terang ketika berada di set penggambaran.

Lizzy berterus-terang

Sehubungan itu, apabila ada pelakon meluahkan pendapat peribadi seusai menonton filem lakonan buat kali pertama, itu adalah perkara yang sepatutnya diraikan.

“Masa di set pun Elizabeth banyak tanya. Saya pula jenis berterus-terang. Kalau tak suka, memang saya akan cakap berdepan.

“Semua orang tahu saya begitu. Kalau saya sebagai pengarah, memang ada visi di set. Tone dan paksi memang dah disediakan daripada awal sampai akhir,” katanya.

Ditanya ada berjumpa Elizabeth secara peribadi selepas luahannya disebarkan kepada wartawan, jawab Liyana: “Elizabeth sangsi sama ada dia dah buat yang terbaik.

“Dia cakap, dia tahu dia boleh buat lebih baik. Saya cakap, tak mengapa. Biasa untuk ada perasaan begitu selepas tonton lakonan sendiri. Dahulu, saya juga begitu.

Tak kesal

“Nasib kami berdua perempuan dan senang faham diri masing-masing. Kalau pengarah lelaki, mungkin pendekatannya berbeza,” ujarnya.

Disuakan pertanyaan sama ada wujud secebis penyesalan kerana mengambil pelakon berstatus kawan berlakon dalam filem arahan, Liyana menggelengkan kepala.

Katanya, dengan sesiapa sekalipun, dia akan sentiasa memberikan peluang agar mereka dapat menjadi lebih baik dari semalam.

“Saya suka kerja dengan kawan. Sebab nak bagi mereka buktikan sesuatu kepada audiens. Nak kerja di set, kena vibe dan saling beri aura yang positif.

“Kalau kalian perasan, kebanyakan pengarah mereka suka ambil pelakon yang sama. Bukan sebab pilih kasih tapi selesa bekerjasama.

“Macam Afdlin Shauki dahulu, dia mengarah balik-balik pelakon muka yang sama. Sebab ada sinergi atau keserasian,” katanya lagi.

The post ‘Saya tak marah Elizabeth Tan, dahulu saya juga begitu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved