16 juta rakyat Malaysia nikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai tengah malam ini

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2025 • 1:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Seramai 16.4 juta rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter mulai tengah malam ini menerusi pelaksanaan program Bantuan Subsidi Madani (Budi95).

Mulai detik 12 tengah malam, sistem itu akan dibuka sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas dan memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

Budi95, yang dilaksanakan secara berperingkat, berjaya merekodkan nilai jualan RM22.9 juta petrol RON95 dalam tempoh sehari pelaksanaannya di seluruh negara semalam.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying nilai pembelian itu bersamaan dengan 11.5 juta liter RON95 yang dibeli oleh pengguna pada harga RM1.99 seliter.

Fasa pertama Budi95 melibatkan 300,000 anggota tentera dan polis, yang menjadi kumpulan pertama menikmati program tersebut pada 27 September lalu manakala lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 menikmatinya semalam.

"Sebagai makluman, pada 28 September (Ahad) fasa kedua Budi95 telah dibuka kepada lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara dan dalam tempoh sehari, RM22.9 juta pembelian telah direkodkan.

"Proses penebusan berjalan lancar tanpa gangguan. Ini menyusuli kejayaan fasa pertama pada 27 September (Sabtu) yang melibatkan 300,000 anggota polis dan tentera di seluruh negara," kata Lim.

Bagi bukan warganegara, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya hari ini memberitahu, harga runcit tersebut adalah bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober ini.

MOF memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.

Beberapa fakta penting yang perlu diketahui ialah subsidi petrol RON95 ini hanya disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.

Sementara had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan, namun pengecualian diberikan kepada pemandu e-hailing dan mereka boleh memohon had yang lebih tinggi.

Menurut MOF, siling kelayanan bulan ini ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di mana 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang 300 liter sebulan.

"Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan," kata MOF.

Melalui Budi95, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia akan memberikan penjimatan sehingga RM200 sebulan kepada rakyat Malaysia.

“Melalui Budi95 ini, ia memberikan penjimatan kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion bergantung kepada turun naik harga minyak dunia,’’ katanya. - 29 September, 2025

The post 16 juta rakyat Malaysia nikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai tengah malam ini appeared first on Scoop.

View Original Article