
KUALA LUMPUR – Skim BUDI95 yang mula berkuatkuasa secara penuh tengah malam nanti bakal memberi manfaat kepada 16 juta rakyat, yang berpeluang membeli petrol pada harga RM1.99 seliter.
Langkah ini dilihat sebagai perubahan besar dalam sistem penyampaian subsidi negara, dengan penekanan kepada ketelusan, kelestarian fiskal dan keadilan sosial bagi memastikan manfaat sampai terus kepada rakyat yang memerlukan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), semua pengguna perlu memastikan maklumat MyKad dan lesen memandu diselaraskan dengan betul kerana sistem pengesahan di stesen minyak akan menggunakan padanan data tersebut untuk menentukan kelayakan subsidi.
“Terminal pembayaran di stesen minyak akan membaca MyKad bagi mengesahkan hak pengguna mendapatkan petrol bersubsidi. Sebarang ketidakpadanan maklumat mesti diperbetulkan segera di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata jurucakap MoF dalam satu kenyataan.
Analisis bersama MoF dan Kementerian Pengangkutan (MoT) sebelum ini mendapati sebahagian rekod lesen memandu masih menggunakan format lama seperti nombor tentera, polis atau nombor pengenalan sebelum MyKad, menyebabkan risiko penolakan subsidi kepada pemegang lesen berkenaan.
Untuk itu, pengguna digesa menyemak semula lesen memandu masing-masing agar mengandungi nombor MyKad 12 digit, nama penuh dan kelas kenderaan yang sah dan tepat.
Sejak dilancarkan secara berperingkat pada 27 September, BUDI95 telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Skim ini kemudian diperluaskan sehari selepas itu kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan isi rumah B40.
Data rasmi menunjukkan pada hari kedua operasi, hampir 500,000 penerima STR telah menggunakan kemudahan BUDI95 dengan jumlah transaksi sebanyak RM22.9 juta bagi 11.5 juta liter RON95. Sistem pengesahan MyKad juga dilaporkan berfungsi dengan lancar di stesen minyak seluruh negara.
Portal rasmi BUDI95 yang dilancarkan pada 25 September turut mencatatkan lebih 8.6 juta pengguna membuat semakan kelayakan.
Portal itu ini kini dilengkapi ciri sejarah transaksi yang boleh diakses melalui log masuk MyDigital ID, platform identiti digital yang selamat bagi melindungi data peribadi rakyat dalam sistem kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan bahawa kuota subsidi sehingga 300 liter sebulan setiap individu adalah mencukupi untuk 98 hingga 99 peratus rakyat Malaysia.
Menurut beliau, skim ini memastikan rakyat biasa yang berulang-alik bekerja atau menghantar anak ke sekolah terus menikmati harga petrol berpatutan, sambil kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi kepada warga asing dan kenderaan berdaftar luar negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai BUDI95, orang ramai boleh melayari portal rasmi di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595. - Getaran, 29 September 2025

