16 laporan ancaman keselamatan siber diterima polis, kerugian cecah RM79 juta dalam 22 hari - Bukit Aman

LocalTechnology
13 Nov 2026 • 4:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

16 laporan ancaman keselamatan siber diterima polis, kerugian cecah RM79 juta dalam 22 hari - Bukit Aman Image from: 16 laporan ancaman keselamatan siber diterima polis, kerugian cecah RM79 juta dalam 22 hari - Bukit Aman amree13/11/2026 - 16:01 Gambar hiasan kredit Cybersecurity Malaysia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Sebanyak RM79.16 juta kerugian dicatatkan dalam tempoh hanya 22 hari akibat ancaman keselamatan siber, termasuk kes pencerobohan perkakasan keselamatan sehingga menyebabkan kehilangan aset mata wang kripto dan wang dalam akaun bank.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 16 laporan polis diterima antara 10 hingga 31 Oktober 2026 berhubung insiden berkenaan.

 

Daripada jumlah itu, 11 kes membabitkan kehilangan aset mata wang kripto dengan kerugian mencecah sebanyak RM42.82 juta, susulan pelanggaran keselamatan perkakasan dan kehilangan aset digital.

 

Dua lagi kes ujar beliau, melibatkan kehilangan wang daripada akaun bank, masing-masing mencatatkan kerugian RM14.52 juta dan RM21.80 juta, termasuk satu kes membabitkan sebuah syarikat.

 

"Selain kerugian kewangan, pihak polis turut menerima laporan pencerobohan sistem paparan skrin LED yang menyebabkan kandungan tidak senonoh dipaparkan di Kluang, Johor dan Bandar Sunway, Selangor," kata Rusdi kepada pemberita pada Khamis.

 

Tambah beliau, statistik kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 turut menunjukkan peningkatan kepada 1,297 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

 

siber freepik
Gambar hiasan kredit freepik

 

Bagaimanapun, jumlah kerugian secara keseluruhan bagi tempoh berkenaan menurun kepada hanya RM125.61 juta berbanding sebanyak RM239.20 juta yang pernah dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Rusdi menjelaskan ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kebenaran sah yang boleh menjejaskan keselamatan sesuatu sistem komputer.

 

"Sehubungan itu, JSJK komited memperkukuh siasatan serta keupayaan analisis forensik digital, khususnya membabitkan kes berkaitan mata wang kripto, selain mengenal pasti kelemahan keselamatan sistem," tegasnya.

 

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama bersepadu dengan agensi berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) bagi isu melibatkan sistem kewangan, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bertanggungjawab dalam aspek keselamatan siber negara.

 

Beliau menggesa individu atau organisasi yang mengalami serangan, termasuk cubaan penggodaman tanpa sebarang kerugian kewangan, supaya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan siasatan dan pencegahan diambil. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved