Kerugian jenayah komersial cecah RM5.25 bilion, penipuan kewangan elektronik naik 235% - Bukit Aman

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 11:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerugian jenayah komersial cecah RM5.25 bilion, penipuan kewangan elektronik naik 235% - Bukit Aman Image from: Kerugian jenayah komersial cecah RM5.25 bilion, penipuan kewangan elektronik naik 235% - Bukit Aman amree13/11/2026 - 11:40 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Kerugian akibat jenayah komersial di Malaysia meningkat hampir 31% kepada RM5.25 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, dengan penipuan kewangan elektronik mencatatkan lonjakan kerugian paling ketara sebanyak 235%.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah kerugian itu meningkat daripada RM4.01 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, meskipun kerugian daripada enam kategori utama penipuan dalam talian menunjukkan penurunan.

 

Beliau menambah, sebanyak 64,951 kes jenayah komersial direkodkan dalam masa 10 bulan berkenaan, meningkat kira-kira 5.55% berbanding hanya 61,538 kes dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dari segi penguatkuasaan, jumlah tangkapan turut meningkat 15.88% kepada 29,479 individu berbanding 25,440 orang tahun lalu, manakala pertuduhan melonjak 52% kepada 21,342 berbanding 14,041 kes.

 

"Peningkatan tersebut mencerminkan usaha berterusan JSJK memperkukuh pengumpulan risikan, tangkapan, siasatan dan pendakwaan terhadap individu yang terbabit dalam jenayah komersial," kata Rusdi dalam kenyataan.

 

Sementara itu, kerugian akibat enam kategori utama penipuan dalam talian menurun 28% kepada RM1.56 bilion berbanding RM2.16 bilion tahun lalu, walaupun jumlah kes meningkat 4% kepada 56,802 berbanding 54,473 kes.

 

JSJK_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Penurunan paling ketara direkodkan dalam penipuan pelaburan palsu apabila jumlah kes berkurang kira-kira 18% kepada 6,537, manakala kerugian merosot 52% kepada sebanyak RM600.37 juta berbanding hanya RM1.25 bilion.

 

Bagaimanapun ujar beliau, jenayah kewangan elektronik mencatatkan perkembangan membimbangkan apabila kerugian melonjak 235% kepada RM280.72 juta berbanding RM83.71 juta, meskipun jumlah kes menurun 8%.

 

Penipuan e-dagang pula merekodkan peningkatan kes tertinggi antara enam kategori utama berkenaan, iaitu sebanyak 56% kepada 17,635 kes berbanding 11,299 kes tahun lalu.

 

Dalam pada itu, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai panggilan, mesej atau tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali serta tidak mendedahkan maklumat perbankan, kata laluan, nombor pengesahan sekali guna (OTP) dan kod pengesahan transaksi (TAC).

 

Orang ramai turut digesa menyemak akaun mencurigakan menerusi portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa penipuan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved