Apple iPhone 16, iPhone 16 Plus, iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max telah dilancarkan awal pagi tadi dengan dua konfigurasi yang berbeza. Pratempahan akan dibuka di Malaysia pada 13 September sementara jualan pula adalah pada 20 September depan. Bagi mereka yang kurang arif model manakah yang paling serasi dengan keperluan peribadi, ini ialah senarai 16 perkara menarik dan mengecewakan pada siri iPhone 16 tahun ini.
MENARIK
1.Skrin iPhone 16 Pro Semakin Besar

Saiz skrin iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max tahun ini sedikit lebih berbanding siri iPhone 15 Pro tahun lalu. Pada 16 Pro ia meningkat daripada 6.1″ ke 6.3″ manakala pada 16 Pro Max pula meningkat dari 6.7″ ke 6.9″. Ini dilakukan dengan hanya menipiskan lagi bezel peranti yang sudahpun nipis sebelum ini.
Dengan rekaan bezel baharu, muka depan iPhone 16 Pro semakin hampir kelihatan seperti sebuah panel kaca yang diidamkan peminat sejak lebih sedekad yang lalu. Model 16 Pro juga masih lagi mengekalkan kadar segar semula 120Hz ProMotion dan juga sokongan sistem HDR Dolby Vision. Dari sudut, terdapat perubahan yang ketara pada model tahun ini.
2. Kedua-Dua Model Hadir Dengan Cip A18 Baharu

Tahun lalu ada sedikit kekecewaan kerana model bukan Pro sekadar mengitar semula pemproses Apple A16 Bionic tahun lalu. Sedikit sebanyak membuatkan terdapat dua kasta prestasi berbeza antara model Pro dan biasa. Tahun ini ia masih lagi berlaku tetapi sekurang-kurangnya cip Apple A18 dan Apple A18 Pro adalah daripada keluarga yang sama.
Perubahan dilakukan pada GPU yang berbeza. Peningkatan prestasi adalah sehingga 20% berbanding cip generasi terdahulu dan pengurangan penggunaan kuasa pula adalah sehingga 30%. Prestasi NPU 16 teras juga setara pada A18 dan A18 Pro memastikan tiada kasta berbeza apabila menggunakan Apple Intelligence.
3. Akhirnya 8GB RAM Pada Semua Model

Yang sah tiada perbezaan ialah jumlah RAM dengan Kesemua model iPhone 16 dilengkapi 8GB RAM. Tahun lalu hanya model Pro hadir dengan memori sebesar ini dengan model bukan biasa terpaksa akur dengan 6GB RAM. Difahamkan memori 8GB adalah minima yang diperlukan untuk menggunakan Apple Intelligence. Ini sebab mengapa hanya iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max akan menerima Apple Inteligence menerusi iOS 18. Pemilik peranti iPhone yang terdahulu semuanya hanya boleh menggigit jari dan terpaksa membeli model baharu.
4. Apple Intelligence – ERA AI Apple Bermula

Era kecerdasan buatan (AI) Apple bermula dengan Apple Intelligence yang diumumkan tiga bulan yang lalu. Dengan AI pemilik semua model iPhone 16 boleh menikmati ciri bantuan penulis dalam emel, iMessage dan pelbagai lagi perisian yang memerlukan mereka menaip. Kerja-kerja leceh seperti ini boleh diserahkan kepada Writing Tools untuk disiapkan. Transkrip untuk nota audio dalam Notes boleh dihasilkan secara automatik dengan cop masa. Tak larat untuk membaca transkrip? AI akan menjadi ringkasan yang lebih mudah untuk difahami dengan masa yang singkat.
Kemudian terdapat ciri Genmoji untuk menghasilkan emoji sendiri, sokongan Visual Intelligence seakan Circle to Search dan Image Playground pula menjana imej berdasarkan prom dengan pantas yang kemudiannya boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi. Carian Siri juga lebih pantas dibantu dengan ChatGPT untuk memberikan maklumat yang lebih tepat untuk soalan yang ditanya oleh pengguna. Era “Siri tak cukup pandai” secara rasminya dapat dilupakan menerusi kemas kini baharu.
5. Rakaman Video 4K 120PFS Dolby Vision

Kekuatan Apple sejak dari awal bukan terletak pada kemampuan fotografi tetapi videografi. Ia paling jarang memberikan masalah dan digemari oleh pasukan Amanz TV apabila kami pergi melakukan tugasan luar negara. Tahun ini siri iPhone 16 Pro boleh melakukan rakaman video 4K sehingga 120FPS dalam mod Dolby Vision serta ProRes. Seperti model Pro tahun lalu, tidak perlu risau rakaman video mengambil storan dalam peranti kerana anda boleh menyimpan video terus pada sebuah SSD luaran menerusi sambungan USB-C.
6. Audio Mix Untuk Audio Lebih Baik

Video yang mantap disokong pula oleh sistem Audio Mix yang menurut Apple boleh menawarkan bunyi “berkualiti studio”. Empat mikrofon pada iPhone 16 Pro memberikan empat pilihan kepada pengkarya untuk merakam audio untuk video mereka. Pertama ialah Standard yang sama seperti sekarang. Kedua ialah In Frame yang memberikan tumpuan kepada audio daripada subjek utama. Ketiga ialah Studio yang menawarkan audio seakan dalam studio yang dapat menghalang bunyi sekeliling dan akhir sekali Cinematic yang memberikan audio seperti sebuah filem.
7. Camera Control – Butang Kamera Terbina Baharu

Tahun lalu Apple meminjam penggunaan bicu USB-C pada kesemua model iPhone 15. Tahun ini mereka mengambil inspirasi daripada Sony Xperia dengan pengenalan butang baharu Camera Control. Butang ini bukan sekadar butang pengatup kamera tetapi juga boleh digunakan untuk mengubah mod kamera, bukaan apertur dan kawalan zum dengan ia boleh mengesan sentuhan. Butang boleh ditekan untuk melancarkan kamera dengan pantas seperti pada sebuah Sony Xperia.
Sistem getaran haptik terbina pada Camera Control pula membuatkan jari dapat merasakan seakan sedang menyentuh tombol fizikal pada sebuah kamera digital sebenar. Kesemua model iPhone 16 dilengkapi Camera Control pada sisi kanan peranti.
8. Sensor 48MP Pada Lensa Sudut Lebar iPhone 16 Pro

Tahun lalu pada lensa sudut lebar akhirnya sensor 48MP yang lebih besar telah digunakan bagi menawarkan kualiti gambar lebih baik serta mod malam yang lebih terang. Tahun ini pada model Pro, lensa ultra sudut lebar dinaiktaraf juga dengan sensor 48MP baharu. Ciri kamera tahun ini dipertingkatkan dengan kemampuan fotografi makro juga pada resolusi 48MP buat pertama kali. Rungutan pengguna imej ultra sudut lebar tidak setajam lensa utama didengari oleh Tim Cook dan rakan-rakan maka perubahan dilakukan.
9. Photographic Style Baharu

Photographic Style adalah ciri yang dilancarkan bersama siri iPhone 13. Menerusinya beberapa gaya fotografi terbina telah disertakan sekali dalam aplikasi kamera. Ia berguna bagi mereka yang ingin mendapatkan mod gambar tertentu tanpa perlu melakukan suntingan selepas gambar diambil. Pada siri iPhone 16, Photographic Style dikemaskini supaya lebih mudah digunakan.
Semakin banyak gaya juga boleh dipilih. Gaya ini kemudiannya boleh diubah sendiri oleh pengguna mengikut citarasa peribadi. Lebih menarik ialah bagaimana rupa gambar jika diambil menggunakan Photographic Style dapat dilihat secara masa nyata dalam aplikasi kamera sebelum gambar diambil.
10. iOS 18 Banyak Ciri Baharu

iOS 18 mengecilkan lagi jurang perbezaan ciri dengan Android. Jika dahulu ia seperti ngarai Grand Canyon, ia kini sudah mengecil seperti tebing longkang besar di tengah-tengah Kuala Lumpur. Saya tidak akan menyenaraikan semua ciri baharu iOS 18 kerana telah menulis mengenainya sebelum ini. Antara ciri baharu ialah sokongan RCS, memperibadikan lagi antaramuka, mengubah tema warna, Control Center lebih terurus dan banyak lagi.
11. Harga Jualan Lebih Murah

Apple dan murah jarang muncul dalam perkataan yang sama tetapi ia berlaku tahun ini. Semua siri iPhone 16 menerima pengurangan harga RM400 sementara pada siri iPhone 16 Pro pula pengurangan harga RM500 dilakukan Apple berbanding harga jualan siri iPhone 15. Sekiranya anda ingat, tahun lalu secara purata harga jualan iPhone meningkat RM200. Ini disebabkan oleh kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika. Tempias pengukuhan Ringgit sejak tiga minggu lalu memberikan impak yang bertentangan pula pada harga iPhone baharu.
MENGECEWAKAN
12. Tiada Semua Ciri Disokong Di Malaysia

Saya mengkritik Google kerana beberapa ciri Pixel seperti pengesanan kemalangan dan Assistant menjawab telefon masih eksklusif hanya di Amerika Syarikat. Maka adalah adil juga untuk menegur Apple yang melakukan perkara yang sama. Ciri Emergency SOS dan Road Side Assistance yang menggunakan sistem satelit masih hanya boleh dinikmati pengguna di Amerika Utara, Eropah Barat, Jepun dan Australasia sahaja ketika artikel ditulis. Dengan ciri satelit hanya diberikan percuma selama dua tahun, nampak gayanya majoriti pembeli iPhone 16 tidak dapat menggunakan ciri yang menyelamatkan puluhan nyawa ini di Malaysia dalam masa terdekat.
13. USB-3 Pantas Hanya Pada iPhone 16 Pro

Hanya iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max sahaja menyokong USB-C dengan kelajuan USB 3.0 yang membolehkan pemindahan data sehingga 10Gbps. Pada iPhone 16 dan 16 Plus, format USB 2.0 sahaja digunakan yang menyokong pemindahan data 480 Mbps yang adalah sekitar 20X lebih perlahan. Mengapakah ciri yang kami senaraikan sebagai mengecewakan tahun lalu diteruskan lagi tahun ini?
14. Sistem Pengecasan Masih Perlahan

Pengecasan berwayar yang masih di takuk lama 20W pada iPhone 16 dan 27W pada iPhone 16 Pro tahun ini. Apple masih enggan menawarkan sistem pengecasan yang jauh lebih pantas berbanding yang digunakan pada peranti kelas pertengahan Oppo, Vivo, Xiaomi, Redmi, Nothing, Tecno dan banyak lagi.
Pengecasan dihadkan sekali lagi untuk mengurangkan kerosakan pada bateri. Tetapi alasan ini sukar untuk ditelan kerana pengeluar dari China boleh menjamin bateri kekal pada tahap kapasiti 80% selepas lebih 1000 kitaran pengecasan. Jika China boleh melakukannya mengapa Cupertino masih ketinggalan?
15. Skrin iPhone 16 dan 16 Plus Masih 60Hz

Pada tahun 2024, Apple masih merasakan sebuah peranti mercu yang dijual pada harga bermula hampir RM4000 boleh dijual dengan skrin 60Hz. Google sendiri tidak lagi berani melakukan perkara yang sudah tidak boleh diterima oleh majoriti pengguna di luar sana. Panel LTPO 120Hz sepatutnya adalah spesifikasi minima untuk sebuah telefon mercu dalam julat harga ini.
15. Sokongan Bahasa Apple Intelligence Masih Terhad

Akhir sekali ialah sokongan bahasa Apple Intelligence yang terlalu anemik. Apabila dilancarkan bulan depan ia sekadar menyokong Bahasa Inggeris Amerika Syarikat sebelum menyokong pula Bahasa Inggeris Australia, Kanada, New Zealand, Afrika Selatan dan UK. Kemudian sokongan Bahasa Cina, Perancis, Jepun dan Sepanyol pula hanya akan diberikan tahun depan tanpa tarikh muktamad. Sebagai perbandingan Galaxy AI menyokong 13 bahasa semasa dilancarkan dengan 3 lagi telah ditambah (termasuk Bahasa Indonesia) pada bulan April.
Jadi adakah senarai 16 perkara ini membuatkan anda teruja untuk membeli siri iPhone 16? Sekiranya ya apakah ciri yang paling menarik minat anda dan apa pula yang mungkin ada kami terlepas pandang. Sila tinggalkan komen di bawah artikel ini untuk berkongsi pendapat anda.


![Kumpul Dana Dengan Jual Kuih Raya, 2 Beradik Menang Pingat Emas & Perak Dalam Acara Memanah Berkuda Di France [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/world.jpeg)

