16 perwakilan asing di Bangladesh sokong hak Rohingya pulang ke Myanmar

27 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 16 perwakilan asing di Bangladesh sokong hak Rohingya pulang ke Myanmar

DHAKA: Sebanyak 16 perwakilan asing  di Bangladesh, termasuk dari United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU), menggesa supaya hak Rohingya untuk kembali ke Myanmar terus dihormati, sembilan tahun selepas lebih 700,000 etnik itu melarikan diri dari negara berkenaan.

Dalam kenyataan bersama sempena Hari Memperingati Pembunuhan Beramai-ramai Rohingya kelmarin, misi diplomatik itu berkata, keadaan di Rakhine semakin membim­bang­kan dengan konflik yang semakin memuncak dan ke­per­luan kemanusiaan yang terus meningkat.

“Ketidakamanan yang semakin meruncing, serangan udara terhadap infrastruktur awam dan sekatan bantuan serta perdagangan oleh pihak berkuasa Myanmar memburukkan lagi krisis kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

Bangladesh kini menempatkan kira-kira 1.2 juta Rohingya di pantai Cox’s Bazar selepas mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myan­mar dan mula menyeberangi sempadan pada 25 Ogos 2017.

Keadaan tidak stabil berke­naan turut mendorong lebih ramai Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan negara lain di rantau ini, dengan sebahagian kehilangan nyawa ketika cuba menyeberangi laut yang berbahaya dengan menaiki kapal.

Misi diplomatik itu berkata, keadaan semasa tidak membolehkan penghantaran pulang Rohingya secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan.

Mereka berkata, usaha me­­wujudkan keadaan yang membolehkan Rohingya kembali memerlukan pendekatan strategik, selaras dan jangka panjang bagi menangani punca utama perpindahan, membina kepercayaan antara komuniti serta menyokong usaha mencapai keamanan termasuk kestabilan lebih kukuh di Myanmar.

Misi diplomatik itu turut berkata, mereka akan terus be­kerjasama dengan Bangladesh untuk mencari jalan ke arah mewujudkan keadaan yang diperlukan bagi proses penghantaran pulang Rohingya.

“Ketika krisis ini memasuki tahun ke-10, kita mesti memastikan rakyat Rohingya tidak dilupakan. Kami akan terus memperkuat suara komuniti Rohingya, memperjuangkan keadilan dan akauntabiliti serta bekerjasama dengan Bangladesh termasuk rakan antarabangsa untuk mengekalkan sokongan global,” menurut kenyataan itu.

Kelmarin, puluhan ribu pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh mengadakan perhimpunan bagi menuntut kepulangan mereka secara selamat ke negara asal, sembilan tahun selepas melarikan daripada tindakan keras Myanmar.

 

The post 16 perwakilan asing di Bangladesh sokong hak Rohingya pulang ke Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved